Nor Diana mungkin dikawal individu tidak dikenali - Ibu

Maznah (kiri) bersama suami menunjukkan gambar dan laporan polis yang dibuat berkenaan anaknya Nor Diana yang didakwa hilang sejak 29 Februari lalu ketika ditemui pemberita di Kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Jalan Stesen Keretapi Tumpat - Foto: Bernama
Maznah (kiri) bersama suami menunjukkan gambar dan laporan polis yang dibuat berkenaan anaknya Nor Diana yang didakwa hilang sejak 29 Februari lalu ketika ditemui pemberita di Kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Jalan Stesen Keretapi Tumpat - Foto: Bernama
A
A
A

TUMPAT - Naluri ibu kepada pelajar kejururawatan yang dipercayai hilang sejak tiga minggu lepas di Alor Setar, Kedah, Nor Diana Mohd Najib, 21, kuat mengatakan bahawa anaknya mungkin dikawal oleh individu tidak dikenali.

Maznah Ismail, 44, berkata, dia berasakan demikian selepas bercakap dengan anaknya itu menerusi panggilan telefon kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurut Maznah, Nor Diana mengatakan bahawa dia kini selamat dan berada di Pasir Gudang, Johor.

"Ketika bercakap dengan 'kakak' (panggilan untuk Nor Diana) semalam, naluri hati saya kuat mengatakan itu bukan dirinya yang sebenar. Malah, kakak seorang yang sangat ceria sebelum ini dan hanya menjawab pertanyaan saya sekadar sepatah-sepatah seakan ada ‘individu’ lain yang berdekatan dengannya.

"Saya juga bertanya pada kakak sama ada ingin pulang ke rumah dan bertemu dengan saya? Dia hanya mengiakan sahaja. Selain itu, saya juga menawarkan untuk mengambilnya di Johor namun tidak diendahkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dia turut dihubungi polis dari Balai Seri Alam, Johor yang mengatakan anaknya telah membuat laporan polis pada jam 2 pagi tadi dengan menafikan laporan yang dibuat sebelum ini selain menegaskan dia kini selamat, mahu berhenti belajar selain mencari kerja.

Maznah berkata, dia dan suami Mohd Najib Hussin, 46, kini buntu memikirkan cara untuk membawa Nor Diana pulang ke pangkuan mereka malah nombor yang digunakan anaknya semalam kini tidak dapat dihubungi lagi.

"Selepas bercakap sekitar tujuh minit bersama Nor Diana semalam, saya cuba menghubunginya semula kira-kira selepas setengah jam perbualan itu namun talian itu tidak dapat disambung selain pesanan yang dihantar di WhatsApp juga tidak diterima oleh Nor Diana.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ada menghubungi kakak angkat Nor Diana yang dikenali sebagai 'Ika' memandangkan Nor Diana pernah tinggal dengannya sebelum ini, namun Ika menjawab Nor Diana telah melarikan diri selepas kisah kehilangannya tular,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan seorang penuntut tahun satu Diploma Kejururawatan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Alor Setar dilaporkan hilang sejak 29 Feb lepas.

Nor Diana, sepatutnya pulang ke rumah keluarganya di Perumahan KTMB Tumpat di sini pada tarikh tersebut iaitu ketika cuti pertengahan semester, namun sehingga kini gagal dikesan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!