Lelaki hina agama Islam dipenjara 6 bulan
KOTA KINABALU - Lelaki yang tular menghina agama Islam melalui aplikasi Facebook telah dipenjara enam bulan dan denda RM15,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, tertuduh sebelum ini telah disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada 21 Mac lalu.
"Pada 17 Mac lalu pihak polis telah menerima laporan kes menghina agama Islam melalui Facebook yang berlaku di Kota Kinabalu.
"Kejadian yang turut tular di media sosial itu melibatkan pengendali Facebook 'Ricky Shane Ca' yang memuat naik komen yang berbaur menghina agama Islam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Zaidi berkata, susulan daripada komen tersebut menyebabkan orang awam yang beragama Islam tidak berpuas hati dengan tindakan suspek yang merupakan provokasi serta menghina agama Islam.
"Tindakannya itu mendapat reaksi komen negatif daripada pelbagai individu.
"Suspek kemudian telah berjaya dikenal pasti dan hadir memberi keterangan pada 17 Mac lalu," katanya.
Sehubungan itu, suspek dituduh dan dijatuhkan hukuman di mahkamah.
"Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000. Sekiranya gagal bayar, tertuduh dikenakan penjara empat bulan tambahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!