Pelan pindah penduduk Gaza diragui

Sebahagian penduduk Gaza berlindung di kem pelarian Rafah yang turut dibedil pada awal minggu lalu. Foto AFP
Sebahagian penduduk Gaza berlindung di kem pelarian Rafah yang turut dibedil pada awal minggu lalu. Foto AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Kira-kira 1.5 juta penduduk Palestin yang kini bersesak di bahagian paling selatan Genting Gaza seakan-akan menunggu ‘hukuman mati’ atau bakal diusir dari wilayah terkepung tersebut jika rejim Zionis meneruskan ofensif ganas mereka di kawasan itu.

“Ke mana kami mahu tuju jika tentera Israel melancarkan kempen pencerobohan di sini?” kata Sabah al-Astal, 50, dalam nada sedih yang terpaksa berpindahrandah sejak 165 hari lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berulang kali menegaskan akan meneruskan operasi serangan berskala besar di Rafah yang terletak bersempadan Mesir dan Israel.

Pemimpin parti Likud itu yang kini tidak ‘sekapal’ dengan sekutunya, Amerika Syarikat memberi jaminan kononnya mereka akan membenarkan penduduk Gaza meninggalkan lokasi medan pertempuran baharu tersebut sebelum ofensif bermula.

Pelan pemindahan secara besar-besaran diumumkan rejim Tel Aviv itu bagaimanapun masih kabur dan dianggap mustahil untuk dilaksanakan.

“Penduduk Gaza tidak tahu mahu ke mana lagi. Tiada tempat selamat di wilayah itu,” ujar pakar Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW), Nadia Hardman.

Awal minggu lalu, Menteri Luar, Israel Katz dengan selamba memberi idea tentang usaha pemindahan penduduk Palestin.

“Mereka akan ditempatkan di bahagian barat wilayah itu. Mungkin ada negara Arab yang boleh bantu mendirikan khemah atau sediakan keperluan lain di kawasan kecil antara Rafah dan Mediterranean,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Cadangan itu dibuat selepas jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari juga menyebut tentang penubuhan ‘pulau kemanusiaan’.

Menurutnya, ‘bandar khemah’ seperti itu kononnya terhindar daripada pertempuran dan akan didirikan dengan kerjasama komuniti antarabangsa.

Tetapi, Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Palestin, Jamie McGoldrick agak skeptikal dengan pelan itu.

“Sejujurnya, saya tidak tahu di mana ia sepatutnya dibina. Bagaimana mereka mahu pindahkan penduduk Gaza? Adakah dengan cara paksaan?

“Kami tidak akan terlibat dengan sebarang usaha pemindahan secara paksa,” katanya.

Pakar Isu Asia Barat di Yayasan Jean-Jaures, David Khalfa juga berpendapat langkah itu adalah sebahagian daripada perang psikologi.

“Israel sebenarnya tiada pelan pemindahan jelas dengan tujuan untuk mengelirukan dan memastikan Hamas tunduk dengan mereka,” tambahnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!