Brazil hormat England - Pereira
ANDREAS Pereira mengingatkan England agar tidak memandang Brazil sebelah mata ketika pasukannya berdepan prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Brazil bergelut dengan prestasi apabila gagal menang dalam empat perlawanan, malah persiapan mereka turut terganggu apabila ramai pemain bintang tidak dapat diturunkan bagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley awal pagi Ahad ini.
Senario berbeza buat Three Lions bimbingan Gareth Southgate yang kian serasi dan sudah berganding sejak bertahun-tahun.
Pemain tengah Fulham berusia 28 tahun itu melihat aksi menentang sebagai perlawanan yang sukar, namun sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.
"Kami tidak merasakan ada jurang yang besar. Kali terakhir Brazil menang kejohanan beberapa tahun lalu berbanding apabila England menang kejuaraan.
"Kita mungkin boleh katakan ada jurang. Namun Brazil sering kali memiliki pemain berjiwa besar, pemain bintang dan pasukan berkualiti.
"Kami menghormati England, terutamanya jika anda tanya saya. Saya beraksi di sini di England dan amat gembira untuk bermain dalam Liga Perdana Inggeris.
"Mereka mempunyai kualiti. Kami hormat mereka dan sedar ia satu perlawanan yang sukar tetapi sudah tentu kami bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan," ujar Pereira.
Brazil memenangi Piala Dunia lima kali dengan yang terbaharu pada 2002, manakala England sekali ketika merangkulnya pada tahun 1966.
England kini menyasarkan untuk menjulang trofi Eropah yang pertama pada Euro 2024 di Jerman tahun ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!