Walaupun liat, biasakan diri bangun sahur
MEMASUKI minggu kedua berpuasa pada bulan Ramadan, semangat segelintir orang untuk bangun bersahur mula kendur.
Ada yang memang sengaja tidak mahu bangun sebaliknya mengambil segelas air kosong sebelum tidur. Ada juga yang memang berniat untuk bangun, tetapi tidak sengaja ‘terbabas’ apabila terjaga selepas azan Subuh berkumandang.
Bagi sesetengah orang, untuk bangun sahur sekitar jam 4 atau 5 pagi sesuatu yang berat, terutama kanak-kanak sekolah. Namun, sempat atau tidak untuk bersahur, kewajipan berpuasa tetap diteruskan hinggalah tiba waktu berbuka.
Tidak dinafikan, ada sebilangan orang memandang remeh amalan bersahur. Bagi mereka, puasa tetap sah walaupun tidak berbuat demikian. Usah dibiasakan berpuasa dalam keadaan sebegitu.
Ketahuilah bahawa ALLAH SWT menjadikan keberkatan dalam bersahur. Ia sebagaimana dinyatakan dalam hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu artikel yang disiarkan menerusi laman web Jabatan Mufti Negeri Perlis berkata, barakah adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan. Meskipun manusia memiliki pelbagai perkara, namun andai kita tidak diberkati ALLAH SWT, segala kebaikan yang diharapkan akan hilang.
Justeru, beliau menasihatkan semua agar bersahur kerana di dalamnya ada keberkatan bagi puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu berpuasa secara umumnya.
Walaupun tidak berdosa sekiranya seseorang meninggalkan sahur, pendakwah, Ustazah Nourul Iman Nia’mat ketika ditemu bual penulis mengingatkan, amalan bersahur sebenarnya merupakan antara indikator jelas yang memisahkan antara puasa orang Islam dengan penganut agama lain dan ahli kitab.
Bahkan, katanya, ia merupakan perbuatan yang sangat dituntut oleh Rasulullah SAW kerana banyak keberkatan bakal diperoleh walaupun hanya dengan meminum seteguk air ataupun sebiji kurma.
Berdasarkan kitab al-Fathul Bari, jelas beliau, berkat amalan bersahur terhasil daripada pelbagai sudut, antaranya ganjaran pahala berbuat demikian, membekalkan tenaga sepanjang hari kepada tubuh dan menambah semangat berpuasa.
Tidak akan terhenti di situ, asbab mengamalkan sunnah yang mulia tersebut akan membuatkan kita mudah memberi sedekah kepada mereka yang meminta.
Di samping meraih keberkatan, amalan bersahur turut digalakkan dari sudut kesihatan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu hantaran di Facebook menjelaskan, pengambilan sahur berupaya membekalkan tenaga ketika seharian berpuasa. Sebaliknya, meninggalkan makan sahur boleh menyebabkan keletihan ketika menjalani ibadah berkenaan.
Penulis sendiri pernah merasai pengalaman tidak sempat bersahur gara-gara terlewat bangun. Lemau badan begitu terasa hingga boleh dikatakan banyak tertidur daripada melakukan kerja. Mujurlah ketika itu ialah hari minggu.
Memetik pandangan doktor dari negara jiran, Dr Samuel Oetoro, andai seseorang berpuasa tanpa bersahur, dia sebenarnya sedang melakukan puasa yang tidak sihat.
Demikian kata pakar gizi MRCCC Siolam Hospitals Semanggi, Jakarta Selatan, Indonesia yang dipetik menerusi portal berita berpengaruh di negara berkenaan, Kompas.com.
Bukan itu sahaja, ia turut memberi implikasi kepada individu tersebut, antaranya gula dalam darah menurun, metabolisme menjadi lambat dan kekurangan tenaga.
Jika dihitung, terlalu banyak manfaat yang bakal diraih andai kita bersahur berbanding jika ditinggalkan begitu sahaja.
Ya, memang berat untuk kita membuka kelopak mata, melepaskan bantal dan katil empuk semata-mata untuk bersahur, tetapi pujuklah diri untuk berbuat demikian bagi meraih keberkatannya.
Kepada yang liat bangun sahur, barangkali boleh cuba tradisi pemuda Aceh di Indonesia yang mana mereka kejut bersahur dengan menyanyi, tetapi awas jangan sampai kita sahur dalam mimpi pula.
* Nurulfatiha Muah ialah Penolong Editor Sinar Islam Plus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!