Pencemaran tasik: JAS Johor lakukan siasatan menyeluruh
JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor akan membantu sebuah loji rawatan kumbahan di Kulai meningkatkan kualiti perkhidmatan selepas dikenal pasti menjadi salah satu penyumbang terhadap pencemaran di tasik Taman Matahari, Bandar Indahpura pada Rabu.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, nasihat sudah diberikan kepada pihak pengurusan loji tersebut selepas pemeriksaan dilakukan JAS Johor dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) di tasik berkenaan dan mengenal pasti punca pencemaran.
Beliau memberitahu, ketika ini JAS Johor melakukan siasatan menyeluruh dan pencemaran didapati melibatkan beberapa punca termasuk daripada loji tersebut.
"Beberapa perkara (sampel) diambil dan nasihat juga diberikan agar loji rawatan kumbahan berkenaan mengadakan kerja-kerja menaik taraf menggunakan kaedah ditetapkan.
"Jadi ada atau tak (loji berkenaan menyebabkan pencemaran) saya minta juga pihak PBT (pihak berkuasa tempatan) perlu ambil tindakan dan JAS akan bantu supaya mempertingkatkan mungkin daripada segi proses di loji tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Walkabout dan Lawatan ke Premis di Bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai, dekat sini pada lewat petang Khamis.
Turut hadir Pengarah Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.
Pada Khamis, Water Konsortium Sdn Bhd dalam satu kenyataan menafikan dakwaan bahawa pencemaran tasik itu berpunca daripada pembuangan air kumbahan atau efluen yang dilepaskan dari loji rawatan kumbahan berdekatan.
Pihaknya menjalankan siasatan di seluruh loji dan hasil menunjukkan efluen yang dilepaskan mematuhi peraturan ditetapkan JAS dan tidak mengalir ke kawasan tasik itu.
Jelasnya lagi, tasik berkenaan mempunyai dua bahagian berbeza dan efluen yang dilepaskan disalurkan ke bahagian tasik berasingan berbeza dengan kawasan dilaporkan.
Pada Selasa tular video dalam media sosial berkenaan tasik berkenaan yang memaparkan ribuan bangkai ikan terapung dan mati dipercayai akibat airnya yang tercemar.
Tian Soon kemudian dilaporkan berkata, puncanya akibat pencemaran dari loji rawatan kumbahan berdekatan selepas mendapati terdapat efluen kelihatan hitam dalam longkang loji tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!