Tarawih hadiah istimewa Ramadan
Hadirnya setahun sekali, kejarlah ganjaran berlipat ganda dengan istiqamah mengerjakannya sepanjang bulan mulia itu
BERTEMU bulan Ramadan menjadi satu nikmat tidak terhingga buat kita. Seharusnya kesempatan yang diberikan oleh ALLAH SWT tidak disia-siakan begitu sahaja.
Salah satu ibadah yang dianggap paling eksklusif ialah solat sunat tarawih. Masakan tidak, ia bertamu hanya selama sepurnama sahaja sepanjang Ramadan.
Kehadirannya seiring dengan bulan mulia itu. Setahun hanya sekali. Malah, mereka yang menghidupkan Ramadan dengan amal ibadah termasuk menunaikan solat tarawih dengan penuh keikhlasan akan meraih gandaan pahala.
Andai solat tarawih diabaikan, kita berada dalam kalangan orang yang rugi kerana tidak mengerjakannya.
Sebenarnya, apa keistimewaan solat sunat tarawih itu sehinggakan ia amat dituntut untuk umat Islam mengerjakannya pada bulan Ramadan?
Sunnah yang diyakini
Ketika dilontarkan persoalan itu kepada Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Dr Nurzahidah Jaapar, beliau menjelaskan, solat tarawih merupakan antara sunnah-sunnah yang disyariatkan oleh Rasulullah SAW pada bulan Ramadan.
Bahkan, ia juga dianggap sebagai satu hadiah istimewa dalam bulan Ramadan daripada ALLAH SWT kepada hamba-NYA.
“Sekalipun hukum mengerjakannya adalah sunat muakkad, tetapi para ulama bersepakat bahawa ia merupakan sunnah yang diyakini pada bulan mulia dan menjadi ibadah besar Islam,” katanya kepada Sinar Islam.
Ia dibuktikan dalam banyak hadis antaranya Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab mengharapkan keredaan ALLAH, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Mengulas tentang bilangan rakaat solat sunat tarawih, jelas Nurzahidah, ulama menyatakan bahawa tiada penetapan jumlah rakaat yang tetap berdasarkan kepada amalan Rasulullah SAW dan para sahabat.
“Baik lapan mahupun 20 rakaat, ini melambangkan keanjalan Islam dalam beribadah, namun terikat dengan adab dan uruf (keadaan) setempat.
“Umat Islam dinasihatkan supaya kekal menjaga adab dan berusaha mendapatkan khusyuk dalam solat agar memperoleh fadilat ibadah dalam bulan mulia ini,” titipnya.
Berkaitan soalan amalan Nabi SAW, ahli akademik itu menjawab: “Rasulullah SAW menunaikan solat tarawih sepanjang malam hingga sebelum waktu Subuh. Bahkan, Baginda juga pernah menunaikannya di rumah secara bersendirian atau berjemaah di masjid.
“Bagi individu yang mempunyai kekangan masa, saya berpendapat, mereka masih boleh melaksanakan solat tarawih sejurus selesai pekerjaan atau laksanakan pada waktu sesuai.
“Ketahuilah bahawa menunaikan ibadah di masjid secara berjemaah merupakan hal yang digalakkan, namun melaksanakannya secara sendirian atau berjemaah di rumah tetap menjadi kemuliaan kerana berupaya menghidupkan qiam dalam bulan yang mulia ini.”
Bersihkan jiwa daripada dosa
Bagi individu yang terlepas menunaikan solat Isyak hingga jemaah di masjid ataupun surau selesai mengerjakannya, Nurzahidah mengingatkan agar mereka laksanakan kewajipan solat fardu Isyak terlebih dahulu sebelum mendirikan tarawih.
“Ingatlah, syarat dan ketertiban dalam menunaikan solat tarawih atau witir adalah selepas menunaikan solat Isyak.
“Namun, pelaksanaan kedua-dua solat tersebut adalah di sepanjang waktu Isyak,” ungkapnya.
Justeru, pensyarah itu mengajak umat Islam untuk memberi perhatian kepada solat tarawih dan berusaha untuk menunaikannya dengan penuh keikhlasan.
Andai mahu ditekuni satu persatu, terlalu banyak manfaat dan hikmah yang tersirat di sebalik pelaksanaan solat sunat berkenaan, terangnya.
Selain mendekatkan diri kepada ALLAH, katanya, amalan itu juga berupaya membersihkan jiwa seseorang daripada dosa dan kesalahan serta merasakan kedamaian dalam hati.
“Dari satu segi, tarawih membantu dalam meningkatkan kekuatan otot badan dan mengawal tekanan darah yang baik untuk kesihatan, di samping menambahkan kesejahteraan emosi serta perlindungan kesihatan kognitif seseorang,” ujarnya.
Sebelum mengakhirinya kalamnya, Nurzahidah menitipkan pesanan agar kita tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah dan perkara yang tidak dipastikan kesahihannya terutama melibatkan ‘hadis’ tentang kelebihan solat tarawih bagi setiap malam.
“Memang wujud hadis bercampur-baur status kesahihannya tentang amalan solat sunat tarawih. Imam Ibnu Qayyim menyatakan, antara ciri-ciri hadis palsu adalah termasuk penetapan pahala dan dosa yang berlebihan.
“Oleh sebab itu, sebelum sebarkan hadis kepada orang lain, penting untuk kita melakukan penelitian yang cermat untuk memastikan kesahihannya,” nasihatnya.
ANEKDOT
Asal usul solat sunat tarawih
- Kalimah tarawih bermaksud kelonggaran jiwa, menghilangkan kesusahan dan keletihan serta duduk yang mengikuti empat rakat selepas solat Isyak. - Sejarah pensyariatannya adalah berdasarkan gesaan Nabi Muhammad SAW agar melaksanakan solat qiam yang bermaksud penghidupan atas malam Ramadan.
- Rasulullah SAW melaksanakan solat qiam di Masjid Nabawi dan di rumah berdasarkan riwayat Aisyah RA: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama Baginda. Kemudian pada malam berikutnya, Baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin ramai. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah SAW, sebaliknya Baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu Subuh, Baginda bersabda kepada para jemaah:“Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
- Istilah solat qiam kemudian telah menjadi tarawih seperti yang dipopularkan pada zaman Umar al-Khattab RA melalui riwayat Imam Al-Marwazi dan menjadi amalan yang diikuti oleh semua kaum Muslim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!