Stoking kalimah ALLAH: Juruteknik dijel enam bulan, denda RM12,000
KUALA LUMPUR – “Saya orang Cina, kami ada tatu tuhan di pelbagai bahagian badan, ingatkan (isu ALLAH) perkara yang kecil,” kata seorang lelaki ketika merayu dikenakan hukuman ringan atas pertuduhan membuat hantaran jelik berkaitan kalimah ALLAH, di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Juruteknik aplikasi sosial, Chiok Wai Loong, 34, berkata, dia hanyalah seorang ‘keyboard warrior’ dan tidak pernah terlintas bahawa komen itu akan menyakiti perasaan orang lain.
Dia yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin, kemudiannya dihukum penjara enam bulan dan denda RM12,000.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, melalui perkhidmatan aplikasi Facebook, menggunakan nama profil ‘Chiok Wai Loong’ pada 18 Mac.
Ia dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang telah dilihat pada jam 3 pagi, hari sama, di Brickfields, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah subseksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat agar menjadi pengajaran kepada masyarakat.
“Sebanyak 24 laporan polis dibuat orang ramai berhubung isu ini yang mana ia menunjukkan keseriusan hantaran dibuat ialah bersifat sensitif kepada umat Islam," katanya.
Sabtu lalu, Pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kekesalannya dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah ALLAH.
Isu itu mengundang pelbagai komen daripada orang awam, termasuk tindakan seorang pemilik akaun Facebook ini.
Justeru itu, dia ditahan di sekitar kawasan dekat Cheras di sini pada Rabu lalu, susulan hantaran berunsur menghina Islam melibatkan isu penjualan stoking kalimah ALLAH baru-baru ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!