Tujuh deretan premis terbakar
KUALA KANGSAR - Tujuh deretan premis musnah dalam kebakaran di Jalan Daeng Selili dekat sini pada Jumaat.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar pada jam 9.15 pagi melibatkan empat rumah dan tiga rumah kedai.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, empat rumah berkenaan ditinggalkan kosong manakala tiga rumah kedai mempunyai penghuni.
Menurutnya, anggota terlibat menggunakan konsep 'receo' dalam operasi berkenaan bagi mengelak kebakaran merebak.
"Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini. Api berjaya dikawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
"Kerja-kerja pemantauan dan overhaul sedang dilakukan di tempat kejadian bagi memastikan tiada lagi punca api," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil siasatan didapati, enam daripada bangunan itu musnah terbakar 90 peratus manakala sebuah lagi mengalami kesan terbakar 5 peratus sahaja.
Katanya, turut musnah dalam kebakaran itu sebuah kereta jenis Honda CRV.
"Operasi pemadaman dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput serta Pasukan Bomba Sukarela Stesen Keretapi membabitkan seramai 21 anggota," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!