Trend 'tudung visor' dijangka ungguli carta fesyen raya

Pempengaruh Noor Farhani (kiri) yang lebih dikenali sebagai Cikgu Farey di TikTok dan Adira menggayakan stail tudung yang digelar 'tudung visor' yang kini menjadi trend dalam kalangan penggemar fesyen hijab kini. Foto Bernama
Pempengaruh Noor Farhani (kiri) yang lebih dikenali sebagai Cikgu Farey di TikTok dan Adira menggayakan stail tudung yang digelar 'tudung visor' yang kini menjadi trend dalam kalangan penggemar fesyen hijab kini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fesyen tudung visor kedengaran lucu namun gaya inilah antara yang popular dan kian menjadi ikutan terutama golongan muda masa kini.

Tudung bawal atau empat segi yang dilipat dua menjadi awning di bahagian kepala bukanlah gaya baharu tapi trend itu kembali menjadi perhatian ramai sehingga mendapat gelaran berkenaan kerana dilihat seperti pelindung muka topi keledar dari pandangan sisi.

"Awal Januari lepas, kerap saya dapat permintaan gaya ini pada sesi penggambaran. Masa itu jenuh fikir macam mana rupa tudung visor sehinggalah bila ditunjukkan gambar rujukan barulah saya faham," kongsi penggaya tudung Eka Jamaludin.

Jurugaya tudung Eka Jamaludin (kiri) menggayakan model dengan stail tudung visor pada bahagian awning yang juga diikat menjadi bentuk riben pada bahagian hadapan. Foto Bernama
Jurugaya tudung Eka Jamaludin (kiri) menggayakan model dengan stail tudung visor pada bahagian awning yang juga diikat menjadi bentuk riben pada bahagian hadapan. Foto Bernama

Eka berkata, gaya berkenaan kembali popular tahun ini kerana kerap digayakan beberapa pempengaruh dan selebriti di media sosial selain faktor pengeluaran tudung empat segi berbidang besar antara 45 ke 47 inci yang tidak membataskan penggayaan.

Berpengalaman lebih lapan tahun dalam penggayaan hijab, pemegang Diploma Seni Reka Fesyen itu juga menjangkakan trend tudung visor dan gaya tudung Turki dan bawal selendang (tudung bawal digayakan seperti pemakaian selendang) akan mewarnai fesyen pada sambutan Aidilfitri kali ini terutama dalam kalangan mereka berusia 16 tahun hingga 30-an.

"Selain tampak menarik, ia juga mudah digayakan jika mereka menggunakan fabrik dan corak tudung yang bersesuaian dengan pakaian atau baju raya mereka nanti.

"Melihat trend tudung visor ini, saya juga teruja melihat wanita berhijab sekarang semakin kreatif dalam menggayakan tudung empat segi berbanding era 2000-an yang mana selendang menjadi pilihan utama pada waktu itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Eka juga berpandangan, bentuk muka tidak menjadi halangan untuk mencuba gaya tersebut memandangkan banyak pilihan fabrik bersesuaian selain perkongsian tutorial di media sosial yang boleh dijadikan panduan.

"Dengan kembalinya stail tudung visor ini di Malaysia, terbuktilah stail hijab ini evergreen (malar segar) kerana sudah wujud sebagai fesyen hijab beberapa dekad lepas dan kini kembali menjadi trend,” katanya.

Antara yang terawal dilihat sering menggayakan tudung visor sehingga dianggap 'pemilik' atau trend setter gaya tersebut adalah usahawan yang juga pempengaruh Adira Salahudi, 27.

"Saya rasa bukan saya yang mulakan gaya tersebut tapi mungkin sebab selalu pakai, mereka ingat saya yang mulakan. Sebenarnya saya juga mula ikut dan cuba gaya ini selepas tertarik melihat video tutorial yang sering dikongsi di media sosial.

"Stail itu sangat senang digayakan, berbanding satu lapis yang nampak plain dan ringkas. Bila kita lipat jadi visor (dua lapis), nampak ada volume, macam ada stail sikit (lebih bergaya)," kata pempengaruh yang mempunyai 1.2 juta pengikut di Instagram itu.

Adira yang juga usahawan jenama tudung turut berpandangan gaya tudung visor ini membantu menampakkan pemakaian tudung lebih kemas, terletak dan menarik.

Mula menggayakannya sekitar April tahun lepas, anak bongsu daripada empat beradik itu mendapat banyak permintaan daripada pengikutnya untuk membuat tutorial dan berkongsi cara penggayaan tudung visor yang telah 'melekat' dan kini menjadi tanda pengenalannya.

Pempengaruh Noor Farhani Mohamad Faizal, 23, lebih dikenali Cikgu Farey di TikTok pula mula 'jatuh cinta' dan serasi dengan gaya ini kerana berpandangan ia lebih menyerlahkan struktur tulang pipinya dan menjadikan bentuk wajah lebih menarik.

"Sebenarnya cara lipatan bawal visor ni dah bermula sejak zaman tok nenek kita cumanya dulu orang rasa stail itu tak cantik dan nampak macam berumur bila pakai. Tapi sejak ada pempengaruh cantik yang asyik pakai stail sama, orang mula terikut sebab rasa cantik juga," katanya yang turut mendapat inspirasi daripada Adira.

Pempengaruh berasal dari Kedah dan mempunyai hampir 600 ribu pengikut di TikTok itu juga berpandangan keyakinan diri dan penampilan keseluruhan juga memainkan peranan penting bagi 'membawa' gaya yang kelihatan vintaj itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!