Derita kepala terhentak forklift
PASIR PUTEH - Insiden terjatuh ketika memasang papan tanda Ogos lalu menyebabkan bapa kepada tiga anak ini koma dengan tempurung kepalanya terpaksa dibuang bagi memudahkan pembersihan darah.
Dalam kejadian 8 Ogos tahun lepas, Mohd Zaid Mat Yusuff, 33, terjatuh dengan kepala terhentak pada forklift yang menyebabkan tempurung kepalanya retak teruk.
Bapanya, Mat Yusuff Hamid, 57, berkata, anak sulung daripada lapan beradik itu terlantar di rumah di Kampung Gong Manak dan memerlukan penjagaan rapi.
Katanya, kebelakangan ini Mohd Zaid menunjukkan sedikit perubahan walaupun masih belum mampu bercakap.
"Dia seperti faham tetapi tidak mampu bercakap, saya berharap agar dia pulih segera," katanya yang bekerja sebagai buruh.
Isteri Mohd Zaid, Siti Suhana Abdullah, 27, masih berpantang kerana baru 15 hari melahirkan anak ketiga.
Mohd Yusuff berkata, keluarganya sebelum ini menerima sumbangan RM3,000 daripada Majlis Agama Islam Kelantan dan mula menerima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menurutnya, dia perlu menyediakan satu tin susu khas berharga RM80 untuk Mohd Zaid bagi tempoh dua hari selain menyediakan alat penyedut kahak dan lamping pakai buang.
"Bukan sahaja kena jaga dia 24 jam tapi kena pastikan keperluan dia mencukupi, selain bantuan JKM, penduduk sekitar sini juga ada membantu," katanya ketika menerima kunjungan Yayasan Amal Dato' Zul Wisma, Tabung Jariah dan Tabung Beras Lapan Asnaf, kelmarin.
Orang ramai yang mahu membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd Yusuff di talian 013-6529776 atau salurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 03090020503587.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!