Malaysia tolak tawaran jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Malaysia tolak tawaran jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026
Malaysia tolak tawaran jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan untuk menolak tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Menurut Kementerian Bela dan Sukan (KBS), keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada Jumaat setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

"Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

"Ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

KBS menjelaskan, sesi penerangan mengenai tawaran tersebut telah dibuat hasil pertemuan bersama deligasi CGF, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua pada 5 Februari 2024.

"Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.

"Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini," katanya.

Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selaku Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia menghormati dan akur dengan keputusan ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Belia dan Sukan atas kesudian mempertimbangkan tawaran CGF.

“Selepas mengambil kira semua aspek penganjuran termasuk implikasi kewangan, kami memahami keputusan Kerajaan untuk memberi keutamaan kepada keperluan rakyat," katanya.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998 dan kembali menerima tawaran penganjuran sukan tersebut bagi tahun 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri sebagai penganjur.

Victoria yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 menarik diri pada Julai tahun lalu disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan dari jangkaan awal AU$2.6 bilion (sekitar RM8.09 bilion) kepada AU$7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Berikutan itu, CGF membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria dan ia dilihat sebagai peluang terbaik berikutan ia hadir dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.

Bagaimanapun, beberapa pihak menzahirkan pandangan agar kerajaan meneliti tawaran itu sebaiknya mengambil kira tahap keupayaan Malaysia untuk melakukan persiapan dalam tempoh dua tahun, apatah lagi ketika negara masih berdepan masalah ekonomi.


INFO

Sejarah Penganjur Sukan Komanwel

2022 (XII) Birmingham, England

2018 (XI) Gold Coast, Australia

2014 (X) Glasgow, Scotland

2010 (IX) Delhi, India

2006 (VIII) Melbourne, Australia

2002 (VII) Manchester, England

1998 (VI) Kuala Lumpur, Malaysia

1994 (V) Victoria, Kanada

1990 (IV) Auckland, New Zealand

1986 (III) Edinburgh, Scotland

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!