MH370: Ocean Infinity bentang pelan baharu pencarian Mei ini
PUTRAJAYA - Firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity dijangka membentangkan cadangan pelan baharu pencarian pesawat MH370 yang hilang 10 tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembentangan itu dijadualkan berlangsung pada Mei depan.
"Kita tunggu dulu kertas cadangan mereka, kawasan mana hendak cari dan sebagainya kemudian kementerian akan membuat kertas Memorandum Jemaah Menteri," katanya menerusi sidang akhbar di pejabatnya pada Jumaat.
Sebelum ini Ocean Infinity melaksanakan pencarian di Lautan Hindi pada 2017 dan berakhir pada 2018.
Pada awal bulan ini, syarikat berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) itu mendakwa mempunyai bukti saintifik baharu mengenai lokasi terakhir pesawat MH370.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Oliver Plunkett berkata, pihaknya berada dalam kedudukan dapat kembali mencari MH370, dan sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan Malaysia.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, sebelum ia diumumkan berakhir di Lautan Hindi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!