Kitaro antara artis yang akan meriahkan RWMF 2024

Kitaro yang pernah memenangi anugerah Grammy dan Golden Globe antara artis legenda yang akan membuat persembahan di RWMF 2024 itu nanti. - Foto: Agensi
Kitaro yang pernah memenangi anugerah Grammy dan Golden Globe antara artis legenda yang akan membuat persembahan di RWMF 2024 itu nanti. - Foto: Agensi
A
A
A

ACARA tahunan Rainforest World Music Festival (RWMF) edisi ke-27 akan kembali memeriahkan suasana di Kampung Budaya Sarawak di sini dari 28 hingga 30 Jun ini dengan tema "Evolusi”.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, artis legenda yang pernah memenangi anugerah Grammy dan Golden Globe, Kitaro adalah antara yang akan untuk membuat persembahan di festival itu nanti.

"Artis yang terkenal dengan muzik instrumental elektronik itu menjanjikan satu persembahan yang memukau lagi mempesonakan bagi penampilan sulungnya di festival ini.

"Kitaro sering dianggap sebagai salah seorang artis yang menampilkan persembahan muzik paling menonjol dalam muzik era baharu. Dia boleh bermain kira-kira 50 alat muzik dan mempunyai koleksi alat muzik tradisional yang banyak dari seluruh dunia,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran RWMF 2024 di sini hari ini.

Selain Kotaro, artis yang akan turut memeriahkan lagi RWMF tahun ini ialah Datuk Zainal Abidin yang terkenal dengan lagu hitnya ‘Hijau’ sejak lebih tiga dekad.

Abdul Karim berkata, pelbagai pilihan tiket untuk menyaksikan RWMF 2024 ditawarkan khusus bagi memenuhi keperluan setiap peminat dari pelbagai lapisan masyarakat, daripada pas tiga hari berharga RM635 untuk dewasa, memberikan akses kepada keseluruhan acara hujung minggu acara itu, kepada pas sehari untuk orang dewasa yang menawarkan harga kepada mereka yang terawal pada RM235, pra-jualan pada RM283, dan jualan pintu pada RM333.

"Kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun boleh menyertai keseronokan persembahan dengan pas sehari berharga RM80, manakala bagi kanak-kanak bawah tiga tahun kemasukan adalah percuma,” katanya.

Sebanyak 20 persembahan terdiri daripada 68 pemuzik antarabangsa dari 14 negara bersama 63 artis Malaysia akan membuat persembahan di RWMF 2024 itu nanti. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!