286 kg sisa makanan di kompos menjadi baja

Sharudin melihat penghasilan baja daripada mesin kompos yang ditempatkan di padang MBK1 pada Jumaat.
Sharudin melihat penghasilan baja daripada mesin kompos yang ditempatkan di padang MBK1 pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang berjaya menyelamatkan kira-kira 286 kilogram (kg) sisa makanan daripada terbuang setakat 10 Ramadan.

Sisa makanan itu dikumpulkan daripada peniaga di Bazar Ramadan Mahkota Square dan orang ramai yang berbuka di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK)1.

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, sisa makanan sejumlah itu akan menghasilkan 180.5 kg baja setelah menggunakan mesin kompos organik.

Sharudin menyerahkan pelekat kempen hargai makanan dan elak pembaziran di bazar Ramadan Mahkota Square pada Jumaat.
Sharudin menyerahkan pelekat kempen hargai makanan dan elak pembaziran di bazar Ramadan Mahkota Square pada Jumaat.

"Setakat 10 hari puasa, (kita berjaya kumpul) 286 kg (sisa makanan), (ini) satu pencapaian yang agak menarik sebab tahun lalu dalam tempoh sebulan (Ramadan) kita berjaya kumpul 200kg.

"Kita jangkakan hasil baja ini akan terus meningkat sekali gus dapat diagihkan kepada kebun komuniti di sekitar daerah Kuantan," katanya ketika ditemui pemberita di padang MBK 1 di sini pada Jumaat.

SWCorp Pahang meneruskan tiga program pada tahun ini iaitu penghasilan baja kompos dari sisa makanan melalui Program Kompos@Bazar, program Infaq Ramadhan melalui program “Trash to Cash” dan program My Save Food”.

Kempen ini antara usaha sama antara SWCorp Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu trend pembuangan sisa makanan di pusat pelupusan sampah berlaku penurunan sebanyak dua peratus.

"Kalau (sebelum ini) purata (pembuangan sisa) 1300 tan, tapi kini ada penurunan dua peratus iaitu 1,249 tan.

"Kita ambil (data) ini untuk komposisi makanan sahaja dan untuk di Pahang berlaku penurunan dua peratus," ujar beliau.

Sharudin memberitahu usaha ini diharap dapat mengurangkan sisa makanan daripada terus dibuang ke dalam tong sampah.

Ujarnya, dalam masa yang sama dapat membudayakan amalan bersedekah dengan menyumbangkan barang-barang kitar semula melalui kempen Trash To Cash Infak Ramadan.

"Hasil sumbangan akan diserahkan kepada badan-badan kebaijikan yang memerlukan," katanya.

Justeru, Sharudin berkata, pihak SWCorp akan memperhebatkan lagi hebahan dan penyampaian maklumat kepada pengunjung yang hadir agar usaha ini dapat dijalankan secara berterusan serta melahirkan masyarakat yang peka kepada alam sekitar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!