Lima sekeluarga ditahan bersama 139.5kg ganja
GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu dan tiga anaknya yang baru pulang daripada mengerjakan solat tarawih ditahan sepasukan polis bagi membantu siasatan berhubung pengedaran dadah jenis ganja di Bayan Lepas.
Keempat-empat mereka termasuk seorang remaja bawah umur ditahan di sebuah rumah di Jalan Mahkamah, Bayan Lepas dalam operasi bermula 8 malam Khamis.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, penangkapan mereka itu dibuat selepas suami kepada wanita tersebut ditahan bersama rakannya di rumah yang sama.
Menurutnya, susulan penahanan itu, polis berjaya merampas 138 ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 139.5 kilogram (kg) bernilai RM432,614.
"Hasil pemeriksaan di dalam rumah kampung yang disewa keluarga itu menemui lima guni berisi 133 ketulan mampat ganja, satu beg plastik mengandungi lima ketulan mampat ganja dan satu kotak berisi 83 peket kecil lut sinar berisi daun kering disyaki ganja seberat 0.6kg.
"Suspek utama iaitu suami kepada wanita berkenaan berusia 49 tahun manakala rakannya berusia 25 tahun. Isteri suspek berusia 48 tahun, dua anak perempuannya berusia 29 dan 19 tahun sementara anak lelakinya berusia 15 tahun.
"Anak lelaki suspek yang di bawah umur itu sudah tidak bersekolah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini pada Jumaat.
Mohamed Usuf menambah, siasatan mendapati, sindiket pengedaran dadah itu aktif sejak Jun tahun lalu.
"Kita turut menyita tiga buah kenderaan iaitu kereta Proton Iswara serta dua buah motosikal jenis Yahama Y15 dan Honda Dash bernilai keseluruhan RM11,500.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM444,114.
"Kesemua dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan dan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 280,000 penagih dadah jika terlepas di pasaran," katanya.
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada suspek positif ganja dan mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah.
"Lima tangkapan direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Mac manakala seorang lagi direman enam hari sehingga 27 Mac.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Usuf berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang telah melancarkan empat operasi iaitu Op Cantas Mega sepanjang Januari hingga Februari lalu.
Menurutnya, operasi itu melibatkan 253 serbuan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
"Melalui semua serbuan berkenaan, kita berjaya menangkap 245 orang iaitu 115 lelaki tempatan, 60 wanita tempatan, 53 lelaki warga asing dan 17 wanita warga asing.
"Kesemua tangkapan berusia lingkungan 18 hingga 64 tahun. Mereka ini terlibat dalam beberapa kesalahan antaranya jenayah kekerasan, Akta Kesalahan-kesalahan Kecil dan Akta Dadah Berbahaya," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!