Keputusan McDonald’s tarik balik saman tak mengejutkan - BDS Malaysia
SHAH ALAM - Keputusan syarikat pemegang francais McDonald’s Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd yang menarik semula tuntutan saman fitnah tidak mengejutkan atau menjejaskan pendirian Boycott Divestment Sanctions (BDS) untuk terus memboikot restoran makanan segera itu.
BDS Malaysia berkata, pihaknya tetap konsisten dengan kenyataan bahawa tuntutan tersebut tidak berdasarkan merit dan tiada asas perundangan.
“BDS Malaysia ambil maklum Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd menarik balik tuntutan mereka, kami tidak terkejut dengan keputusan ini dan kami secara konsisten menegaskan bahawa tuntutan ini tidak berasas.
“McDonald's tetap dikategorikan di bawah 'Sasaran Boikot Organik' oleh BDS Malaysia.
“Ia akan terus diboikot oleh individu di seluruh dunia kerana didakwa terlibat dengan kejadian tragis di Palestin hingga mengakibatkan kehilangan lebih dari 32,000 nyawa tidak bersalah, terutama wanita dan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan McDonald's Malaysia menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap BDS Malaysia selepas hasil positif proses mediasi antara kedua-dua pihak.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Datuk Azmir Jaafar berkata, ia susulan penjelasan yang dibuat BDS Malaysia bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel sama sekali tiada kena-mengena dengan McDonald’s Malaysia.
Jelas beliau, pihaknya sebagai rangkaian perniagaan 100 peratus milik Muslim tetap berpegang teguh dengan pendirian untuk tidak menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik dan peperangan.
Dalam pada itu, BDS Malaysia turut menggesa masyarakat global untuk teruskan usaha memboikot Israel dan semua entiti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sehingga rakyat Palestin berhasil mencapai keadilan serta kemerdekaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!