Google nyahaktif paparan tukaran wang RM, selesai isu teknikal - Fahmi

Fahmi bercakap pada Sidang Media Mingguan oleh Menteri Komunikasi di Angkasapuri Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Fahmi bercakap pada Sidang Media Mingguan oleh Menteri Komunikasi di Angkasapuri Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Google menyahaktifkan ciri-ciri termasuk graf pertukaran nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) di enjin cariannya buat sementara waktu adalah bagi menyelesaikan beberapa aspek teknikal, dan bukan arahan mana-mana pihak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak Google tindakan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), bagi memastikan tidak lagi berlaku kesilapan paparan pertukaran nilai wang RM pada masa hadapan.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, beliau sendiri telah berhubung dengan pihak Google untuk memastikan perkara berkenaan.

"Saya dimaklumkan ia (paparan tukaran RM) akan diadakan semula apabila segala proses berkaitan yang diambil Google itu selesai.

"Jadi saya tidak mahu mana-mana pihak fitnah, tohmah kononnya tindakan Google itu arahan pihak tertentu,” katanya dalam sidang media di Angkasapuri hari ini.

Google telah dua kali melakukan kesilapan dalam menerbitkan data kadar pertukaran RM pada tahun ini, masing-masing pada 6 Februari dan 15 Mac sehingga menimbulkan pertikaian di media sosial. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!