Dakwaan liwat: Pemuda UMNO harap individu terlibat digantung keahlian
KUALA LUMPUR - UMNO tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli parti yang terlibat dalam kes salah laku.
Bagaimanapun Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, setiap ahli berhak membela diri sebelum dikenakan sebarang tindakan tatatertib.
“Saya dah bawa isu (kes liwat pemimpin Pemuda UMNO Johor) ke MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan kita setuju untuk membawa perkara ini sebagai tindakan disiplin.
"Perkara ini juga akan dibawa dalam mesyuarat pengurusan untuk menilai apa tindakan (seterusnya).
"Kita minta hukuman keras diambil dan mungkin gantung dahulu sementara menunggu pembelaan dan pendakwaan.
“Jika dibenar dan terbukti bersalah, maka tindakan keras dikenakan sebab tidak kita berkompromi isu jenayah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO di sini, pada Jumaat.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, polis Johor mengesahkan menerima lima laporan berkaitan kes liwat terhadap enam lelaki termasuk tiga pelajar sekolah.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, susulan itu pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga pemimpin Pemuda UMNO bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu Akmal menjelaskan, penggantungan serta-merta tidak boleh dikenakan ke atas ahli terlibat ekoran terdapat proses yang perlu diikuti, namun beliau memberi jaminan sebarang keputusan akan dibuat sebelum Aidilfitri.
"Biarkan siasatan (polis) berjalan dengan baik, tetapi sebagai parti politik, kita akan ambil tindakan sementara.
"Kalau benar bersalah, kita minta dia akan digugurkan sebagai ahli," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!