Cuaca panas: Perlis dilanda gelombang haba dua hari berturut-turut
KUALA LUMPUR - Perlis merekodkan gelombang haba atau suhu panas tahap dua setakat jam 4.30 petang tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Berdasarkan data harian status cuaca panas yang dikongsikan jabatan itu di Facebook hari ini, tahap gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Selain itu terdapat 12 kawasan di Semenanjung merekodkan suhu panas tahap berjaga-jaga atau tahap satu, iaitu Langkawi, Pokok Sena, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kuala Muda, Pendang dan Kota Setar di Kedah serta Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak.
Tahap Berjaga-Jaga merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Malaysia berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang secara lazim menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan awan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan.
Selain itu, berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dunia pada ketika ini, MetMalaysia turut menjangkakan suhu maksimum harian di negara ini boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!