Universiti awam perlu ubah pandangan terhadap TVET

TVET pacu kerelevanan program akademik universiti awam. Foto hiasan
TVET pacu kerelevanan program akademik universiti awam. Foto hiasan
A
A
A

DASAWARSA ini, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dilihat menjadi agenda utama di peringkat global.

Dunia sedang menghadapi perubahan automasi dan digitalisasi yang telah meletakkan TVET sebagai pemacu kerelevanan program akademik universiti awam.

Hal ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan yang memberi penekanan kepada pelajar supaya menceburi bidang kemahiran.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan bahawa TVET seharusnya diberikan fokus dalam hala tuju pekerjaan terutama dari segi penglibatan dalam pekerjaan sosiologi industri.

TVET juga dilihat sebagai sebahagian daripada elemen dalam sistem pembelajaran yang berasaskan kepada latihan pekerjaan yang berterusan dan pembangunan profesional dalam menuju kepada suatu tingkat kelayakan yang lebih tinggi.

Setiap tahun, bajet terhadap pemerkasaan TVET menunjukkan peningkatan dari jutaan sehingga mencecah ke bilion ringgit bagi membolehkan kerajaan menggerakkan langkah yang lebih proaktif pada masa akan datang.

Pemerkasaan ini merupakan satu pemangkin dalam membangunkan bakat kemahiran dalam keperluan ekonomi serta mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada golongan muda pada hari ini.

Adalah amat penting bagi universiti awam untuk mempertimbangkan peranan Program TVET dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana perubahan persepsi universiti awam terhadap TVET dapat membawa manfaat besar kepada industri dan ekonomi negara.

Kebiasaannya, universiti awam lebih tertumpu kepada program akademik tradisional berbanding TVET.

Namun realiti industri menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap graduan TVET yang berkemahiran dalam pelbagai bidang, termasuk program-program yang bercirikan sains sosial dan kemanusiaan.

Sebagai contoh program-program dari bidang sains sosial seperti perniagaan dan pengurusan, perhotelan dan pelancongan, seni kreatif, animasi, kewartawanan dan lain-lain program yang sememangnya berpotensi untuk dijadikan sebagai program TVET.

Selain itu, terdapat 280 institusi latihan TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang melaksanakan latihan kemahiran.

Institusi TVET ini termasuk 4 universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), 36 politeknik, dan 104 kolej komuniti.

Dengan permintaan yang tinggi dari industri terhadap graduan TVET yang berkemahiran, terdapat keperluan untuk lebih memperluas program-program TVET di universiti awam, termasuk dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

Ini akan membantu memenuhi keperluan industri serta menyediakan graduan dengan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja.

Kesimpulannya, universiti awam perlu terbuka mengubah pandangan mereka terhadap TVET sebagai pilihan pendidikan yang penting dan relevan.

Sudah sampai masanya program program akademik bercirikan TVET diketengahkan dalam era yang serba serbinya berpaksikan kemahiran.

Kita tidak boleh menidakkan hakikat bahawa graduan yang berkualiti terlahir daripada garapan pendidikan holistik yang menggabungkan kemahiran dan teori disamping memberi peluang kepada graduan dari institusi TVET untuk melanjutkan pengajian hingga peringkat PhD di universiti awam.

Profesor Madya Ts Dr Noraini Seman adalah Ketua Kurikulum Akademik, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!