358 notis kompaun kesalahan merokok di NS
SEREMBAN - Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 358 notis kompaun di negeri ini selepas 10 hari pelaksanaan larangan merokok di premis makanan.
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, notis kompaun berjumlah RM85,700 itu dikeluarkan kepada pemilik, pengusaha tempat makan dan perokok mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
"Sebanyak 216 notis dikeluarkan kepada perokok kerana merokok di tempat makan dan sebanyak 85 notis dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan kerana kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok.
“Selain itu sebanyak 38 notis dikeluarkan kepada pemilik dan pengusaha tempat makan kerana kesalahan gagal memastikan tiada seorang pun merokok dalam premis mereka manakala 19 notis dikeluarkan kepada perokok bawah umur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebanyak 7,663 lokasi di seluruh negeri ini diperiksa sejak 1 Januari lalu selepas peraturan itu dikuat kuasakan.
"Kita akan lakukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan larangan merokok ini sentiasa dipatuhi.
"Tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak yang cuba mencabar kerajaan dengan membuat provokasi seperti rakaman video merokok dengan sengaja di kedai makan, seolah memperlekehkan pihak berkuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!