Nafuzi faktor Sony Norde pilih Kedah

Dari kiri: Nafuzi, Norde, Shahrul dan Fauzi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas, Alor Setar pada petang Jumaat. Foto KDA FC
Dari kiri: Nafuzi, Norde, Shahrul dan Fauzi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas, Alor Setar pada petang Jumaat. Foto KDA FC
A
A
A

PEMAIN import baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sony Norde mengakui sokongan ketua jurulatih pasukan itu, Nafuzi Zain menjadi antara faktor beliau mahu bersama skuad tersebut bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024-2025.

Bekas pemain lincah yang pernah berada di bawah Nafuzi semasa bersama Terengganu FC itu berkata, Sang Kenari bakal menjadi destinasi baharunya untuk terus melonjakkan namanya di liga bola sepak negara ini.

Menurutnya, jurulatih itu dilihat antara yang terbaik di dalam membangunkan potensi pemain termasuk dirinya pada setiap perlawanan sebelum ini.

"Selepas beberapa tahun saya beraksi di Liga M, akhirnya saya kini bersama pasukan Kedah dan mendapat panggilan serta sokongan daripada Nafuzi yang mahukan saya bersama pasukannya di sini,” katanya.

Pemain berusia 34 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas, Alor Setar pada petang Jumaat selepas laman media sosial KDA FC mengumumkannya sebagai pemain import baharu pada musim ini.

Pemain itu disambut sendiri oleh Nafuzi, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin dan Penyelaras Pasukan Liga Super Kedah, Fauzi Saari.

Tambahnya, beliau mengakui Kedah adalah salah satu pasukan yang besar di negara ini selain telah mencipta nama dan melakar sejarah dalam saingan Liga-M.

“Mana-mana pemain yang datang ke Kedah akan bekerja keras untuk mencipta kejayaan kerana pasukan ini mempunyai nama besar dan jangkaan semua pihak terhadap semua pemain adalah tinggi untuk mendapatkan piala," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!