Imam rebah, meninggal dunia ketika solat Subuh di masjid

Rakaman video tular dalam media sosial memaparkan jemaah di masjid berkenaan sedang solat dan imamnya rebah sebelum sempat menghabiskan sembahyang berjemaah.
Rakaman video tular dalam media sosial memaparkan jemaah di masjid berkenaan sedang solat dan imamnya rebah sebelum sempat menghabiskan sembahyang berjemaah.
A
A
A

SEGAMAT - Imam 1 Masjid Jamek Kampung Sermi di sini, Mohd Razif Hussin, 62, yang rebah sebelum meninggal dunia ketika mengimamkan solat Subuh pada pagi Jumaat, seakan sudah tahu ajalnya bakal tiba apabila berpesan kepada anak-anak lelakinya supaya belajar solat jenazah.

Anak sulungnya, Mohd Syukri, 35, berkata, bapanya mahu empat anaknya yang semuanya lelaki tahu mengurus dan menunaikan solat jenazah apabila tiba masanya.

Mohd Syukri tidak menyangka amanat itu menjadi kenyataan selepas bapanya rebah di hadapan mimbar semasa rakaat pertama solat Subuh di masjid berkenaan sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Daerah Segamat (HDS).

"Arwah sebelum ini pernah beritahu saya dan adik-adik supaya wajib belajar uruskan dan tahu solat jenazah, sekarang kami tunaikan dan itulah khidmat terakhir kami untuk arwah bapa.

"Amanat arwah bapa itu seolah-olah dia mendapat petanda awal akan meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya yang akhirnya menjadi realiti pagi semalam (Jumaat), kami reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Sebelum ini tular dalam media sosial video memaparkan jemaah di masjid berkenaan sedang solat dan imamnya rebah sebelum sempat menghabiskan sembahyang berjemaah.

Mohd Syukri menunjukkan foto arwah bapanya yang meninggalkan dunia semasa mengimamkan solat Subuh di Masjid Kampung Sermin, Segamat pada pagi Jumaat.
Mohd Syukri menunjukkan foto arwah bapanya yang meninggalkan dunia semasa mengimamkan solat Subuh di Masjid Kampung Sermin, Segamat pada pagi Jumaat.

Bercerita lanjut, Mohd Syukri berkata, arwah bapanya menghidap masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan serta dimasukkan ke sebuah hospital di Johor Bahru beberapa bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, arwah bapanya sangat mengambil berat solat berjemaah di rumah atau di masjid.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini arwah bapanya banyak menghabiskan masa lapang dengan membaca al-Quran selain aktif dengan kerja kebajikan serta aktiviti kemasyarakatan di kampung berkenaan.

Sementara itu, seorang jemaah masjid berkenaan, Musa Atan, 60, berkata, kejadian berlaku pada jam 6.18 pagi ketika menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Musa menunjukkan video imam yang rebah sebelum meninggal dunia semasa mengimamkan solat Subuh di Masjid Kampung Sermin, Segamat pada pagi Jumaat.
Musa menunjukkan video imam yang rebah sebelum meninggal dunia semasa mengimamkan solat Subuh di Masjid Kampung Sermin, Segamat pada pagi Jumaat.

Katanya, arwah yangbekerja sendiri tiba-tiba terhoyong-hayang ketika selesai membaca surah al-Fatihah semasa rakaat pertama sebelum disambut beberapa jemaah yang berada berhampirannya.

"Kami baringkan, riba dia dan turut memberi pertolongan cemas sambil mengajar mengucap kalimah syahadah," katanya yang merupakan pesara guru.

Seorang lagi jemaah, Abd Halim And Wahab, 60, berkata, dia melihat wajah arwah dalam keadaan bersih dan berseri-seri ketika membuka kain kafan untuk melihat wajahnya buat kali terakhir.

"Memang saya nampak wajahnya berseri seolah bercahaya daripada biasa kerana sepanjang hayatnya dia memang suka bantu orang tanpa mengira kaum dan agama.

"Beberapa hari lalu, arwah ada beritahu ahli kariah masjid yang dia mahu lepaskan urusan memasak bubur lambuk berbanding kelazimannya. Ketika itu saya anggap kata-katanya hanya perkara biasa, namun tidak disangka itu antara tanda pemergiannya buat selama-lamanya," tambahnya lagi.

Jenazah Allahyraham disolatkan di Masjid Jamek Kampung Sermin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sermin, selepas Asar petang Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!