TMM 2026: Kerajaan negeri, pemain industri tingkatkan kerjasama
KUALA LUMPUR - Semua kerajaan negeri dan pemain industri pelancongan disaran meningkatkan kerjasama bagi membuat persiapan rapi sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 demi impak terbaik terhadap ekonomi negara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha itu juga demi memartabatkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan utama di pasaran antarabangsa.
"Saya ingin menyarankan semua kerajaan negeri dan pemain industri pelancongan agar melipatgandakan usaha serta meningkatkan sinergi dalam membuat persediaan rapi.
"Ia bagi memastikan kempen TMM 2026 yang menyasarkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing tercapai, sekali gus memberi impak ekonomi yang optimum," titah baginda sempena Majlis Perasmian Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di sini pada Sabtu.
Turut berkenan berangkat pada majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah agar pihak Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) membantu menggerakkan seluruh jentera bagi menyokong Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Titah baginda, kempen tersebut adalah langkah kerajaan Perlis ke arah menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Penglibatan Perlis dalam pameran ini adalah untuk memperkenalkan, seterusnya menampilkan keistimewaannya sebagai destinasi pilihan pelancongan.
"Besarlah harapan saya agar MATTA dapat membantu menggerakkan seluruh jenteranya untuk sama-sama menyokong Perlis yang ‘Damai Dan Menawan’ sebagai sebuah destinasi pilihan ramai," titah baginda.
Baginda juga bertitah, Perlis mengalu-alukan rangkaian-rangkaian hotel bertaraf empat dan lima bintang untuk melebarkan sayap pelaburan ke negeri itu.
"Dengan menyaksikan kehadiran pelancong melebihi empat juta orang pada 2023, Perlis merupakan potensi pasaran baharu yang wajar diberikan perhatian dan diterokai secara serius," titah baginda.
Perlis buat julung kalinya menjayakan kempen Perlis As Favourite Destination pada MATTA Fair 2024 yang bertemakan ‘Perlis Damai Dan Menawan’ tahun ini.
MATTA Fair 2024 berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat, menawarkan kemasukan percuma kepada pengunjung bermula jam 10 pagi hingga 9 malam.
Sebanyak 27 perkhidmatan bas ulang alik ke Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall disediakan secara percuma dengan kekerapan setiap 10 minit untuk pengunjung
Sementara itu, Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, usaha yang digerakkan menerusi penganjuran MATTA Fair selari dengan hasrat pihaknya membantu negara mencapai matlamat memperkasakan pelancongan tempatan dengan lebih mampan.
"Ia termasuk meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan industri dan masyarakat serta menyumbang secara signifikan terhadap perlaksanaan dasar industri ini menerusi pelbagai program yang dianjurkan setiap tahun," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!