14 GRO, seorang pondan ditahan
KUALA LUMPUR - Seramai 14 pelayan pelanggan (GRO) warga asing termasuk seorang pondan ditahan dalam serbuan di dua pusat hiburan di Taman Perindustrian Kepong (KIP) tengah malam tadi.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, serbuan jam 11.50 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor.
Menurutnya, serbuan pertama melibatkan penahanan tujuh wanita warga Vietnam dan seorang wanita dari Indonesia berumur antara 18 hingga 30 tahun serta seorang wanita tempatan yang juga penjaga premis berusia 39 tahun
"Pemeriksaan mendapati dua daripada warga asing ditahan tidak mempunyai pasport, manakala selebihnya menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke negara ini," katanya.
Menurutnya, kehadiran GRO bertujuan menarik lebih ramai pelanggan ke pusat hiburan berkenaan dan difahamkan GRO terbabit menawarkan khidmat layanan pada harga antara RM100 hingga RM150.
Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat 40 pelanggan berada di dalam premis berlesen itu dan kegiatan tersebut telah aktif sejak kira-kira empat bulan lalu.
Sementara itu dalam serbuan kedua pula, empat wanita warga Vietnam, seorang wanita dari Laos serta seorang pondan warga Thailand berusia antara 18 hingga 31 tahun serta seorang lelaki tempatan bekerja sebagai penjaga berusia 30 tahun telah ditahan.
"Ketika serbuan dilakukan, terdapat 14 pelanggan di dalam premis ini dan semua GRO sedang leka menari di atas pentas tanpa menyedari kehadiran polis," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen dan dipercayai aktif beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lalu dengan menawarkan khidmat layanan GRO pada harga antara RM100 hingga RM150.
"Kita turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk berhibur termasuk alat muzik, pembesar suara, mikrofon dan televisyen selain wang tunai lebih RM1,200," katanya.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(3) akta yang sama, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 11 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!