MAIWP nafi enggan bayar hutang kontraktor, isu berpunca masalah teknikal
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menafikan dakwaan enggan membayar hutang tertunggak seorang kontraktor yang diberi tugas membina sebuah masjid di Kuala Lumpur seperti dilapor sebuah portal berita baru-baru ini.
Pengerusinya, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, tunggakan tersebut berpunca daripada masalah teknikal kerana pihaknya lewat menerima surat tuntutan yang dihantar kontraktor berkenaan.
"Perlu saya tegaskan di sini bahawa pihak kami tidak ingin memanjangkan isu ini dan ingin menyelesaikan secara baik. Seperti yang saya nyatakan, punca sebenar kepada masalah ini bukan kami tidak mahu bayar tapi disebabkan masalah teknikal.
"Malah, MAIWP juga telah bersedia untuk membuat pembayaran segera tetapi kami dimaklumkan peguamnya, mereka belum mendaftar dengan eVendor iaitu satu sistem di bawah Jabatan Akauntan Negara. Jadi, kita minta daftar dahulu dan selepas pendaftaran pembayaran akan terus dibuat.
"Pembayaran dijangka akan dibuat menjelang 28 Mac ini jika sekiranya segala proses pendaftaran dengan sistem tersebut selesai sepenuhnya.
"Saya juga merasakan perlu memberi penjelasan secara terbuka ini untuk memulihkan kembali organisasi yang sedikit tercalar dengan laporan yang tidak tepat ini," katanya kepada Sinar Harian.
Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan Syed Kamarulzaman berdepan tindakan undang-undang kerana enggan membayar hutang seorang kontraktor yang ditugaskan membina Masjid Jamek Ibn Khaldun di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Menurut laporan itu, pengerusi organisasi agama tersebut diminta membayar wang tunggakan berjumlah RM222,093.72 jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.
Dalam pada itu, Syed Kamarulzaman mengakui kesal apabila namanya dikaitkan secara peribadi dengan tindakan undang-undang yang ingin diambil kontraktor tersebut.
Sedangkan katanya, pengurusan projek bagi masjid berkenaan diberikan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) termasuk aspek bayaran kepada kontraktor.
"Jawi merupakan pengurus projek ini pada ketika itu dan bayaran telah dibuat oleh MAIWP kepada Jawi dan kita juga minta bayaran segera dibuat sekiranya urusan peguamcara kontraktor dengan pendaftaran eVendor selesai nanti.
"Saya juga ingin nyatakan di sini MAIWP tidak mahu memanjangkan isu ini kerana selaku organisasi agama kita sedar hutang yang wajib dibayar dan tanggunggjawab juga perlu dilunaskan dengan sebaiknya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!