Malaysia hantar 100 kontena bantuan ke Gaza

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kir), Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby (tiga, kanan) pada Majlis Pelancaran dan Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan 100 Kontena Malaysia ke Gaza di Pangkalan Udara Subang pada Sabtu. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kir), Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby (tiga, kanan) pada Majlis Pelancaran dan Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan 100 Kontena Malaysia ke Gaza di Pangkalan Udara Subang pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia menghantar sebanyak 100 kontena merangkumi 1,358 tan barangan terdiri daripada pelbagai sumbangan ke Gaza menerusi misi bantuan kemanusiaan keenam yang dilancarkan pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 100 Kontena Malaysia Dari Kaherah ke Gaza itu yang diketuai Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang dekat sini.

Beliau berkata, Malaysia bertekad untuk membela nasib penduduk Gaza dan Palestin dalam apa jua keadaan malah kerajaan sentiasa menyusun serta menghulurkan bantuan di pelbagai peringkat membabitkan agensi dan organisasi seperti Mapim.

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga komited untuk membantu Mapim menerusi penghantaran barang ini yang dibeli di Mesir khususnya di Kaherah.

"Jadi, urusan kerajaan dengan kerajaan akan diuruskan oleh Perdana Menteri sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelepasan misi bantuan itu.

Ahmad Zahid juga berkata, Anwar dijangka menghubungi Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi untuk membincangkan misi bantuan yang dikendalikan MAPIM itu agar dapat memudahkan proses penghantaran sumbangan ke Gaza.

Perdana Menteri turut hadir untuk memberikan sokongan kepada MAPIM pada majlis pelepasan misi bantuan itu sebelum beliau berlepas ke Kuantan, Pahang atas urusan rasmi.

Ketua Aktivis Mapim yang juga ketua misi berkenaan Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kontena bantuan yang terdiri daripada bahan asas seperti tepung gandum, kotak makanan, barangan ibu dan bayi itu bernilai RM12 juta.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sumbangan itu juga melalui pendanaan bersama enam badan bukan kerajaan (NGO) diketuai MAPIM dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia, Iman Care Malaysia, Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia, Persekutuan Persatuan Islam New Zealand dan Yayasan Al-Khair dari United Kingdom.

"Misi ini adalah satu usaha nasional yang dikelolakan oleh NGO dengan dibantu pihak Kerajaan Malaysia sebagai bukti bahawa biarpun kita kerdil atas peta dunia namun kita semua memiliki hati yang besar dan tidak pernah putus asa untuk membela Gaza,” katanya.

Misi bantuan itu membabitkan 20 anggota delegasi yang akan berada di Kaherah selama 10 hari untuk membuat segala persiapan serta proses penghantaran ke sempadan Rafah dan mereka dijangka pulang tiga hari sebelum Aidilfitri. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!