Tiada bonus untuk penjawat awam
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tiada bonus untuk penjawat awam pada Aidilfitri tahun ini.
Ini kerana, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa pemberian insentif khas RM2,000 sebelum ini adalah untuk tujuan sambutan Aidilfitri.
"Yang dapat RM2,000 itu penjawat awamlah, untuk skim persaraan akan naik lagi.
"Jadi, berita terlalu baik untuk penjawat awam, RM2,000 itu (adalah) untuk raya sekalilah tu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Bazar Ramadan Mahkota Square di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada 15 Mac lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa agar kerajaan memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sempena Aidilfitri.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat dilaporkan merayu supaya kerajaan mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan sejak 10 tahun lalu.
Sementara itu, Anwar menjelaskan, kerajaan baharu sahaja meluluskan insentif awal kajian sistem saraan perkhidmatan awam berjumlah RM2,000 pada 28 Februari lalu.
"Kita baru lulus RM2,000 kepada penjawat awam dan ini lebih daripada tahun sudah.
"Kemudian dalam beberapa bulan ini kita akan luluskan skim persaraan, naikkan gaji," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!