Surah al-Jumu'ah jadi pembimbing ummah
SHAH ALAM - Surah al-Jumu’ah yang diangkat pada program World #QuranHour2024 (WQH 2024) menjadi panduan kepada umat Islam terutama golongan pemimpin, ahli ulama dan masyarakat untuk transformasi kehidupan lebih baik.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, surah berkenaan menetapkan empat proses iaitu tilawah dengan membaca ayat-ayat ALLAH, tazkiyah melibatkan penyucian jiwa dan ta'lim menuntut dan mengajar ilmu al-Quran.
"Apabila seseorang itu bertasbih, menyucikan, menyempurnakan dan meletakkan ALLAH sebagai yang paling berkuasa serta bijaksana, maka ia menyebabkan tiga golongan tersebut tidak akan meletakkan peraturan lain lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa.
"Ini adalah penyelesaian dan diingatkan jangan sampai berulang kisah Bani Israel suatu ketika dahulu yang mana mereka ada kitab, tetapi tidak membaca atau memahaminya sehingga bercakaran lalu berpecah antara satu sama lain.
"Daripada perbuatan tersebut, mereka telah merosakkan kaum sendiri," katanya kepada Sinar Ahad.
World #QuranHour2024 yang akan dipancarkan secara langsung di Astro Oasis dan laman Facebook Sinar Harian serta WUIF dijadualkan bermula pada jam 12 tengah hari sehingga 1 petang.
Program yang berlangsung di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 4 April itu turut mendapat perkenan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah untuk berangkat mencemar duli ke majlis berkenaan.
Dalam pada itu Fazrul menjelaskan, surah al-Jumu'ah juga memberi panduan dalam menjadikan institusi hari Jumaat sebagai peluang melakukan tilawah, tazkiah dan taklim.
Secara tidak langsung ujarnya, surah tersebut menjadi pembimbing kepada keluarga serta organisasi untuk mengikut panduan daripada Ilahi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!