Anak gajah mati dilanggar kereta api
KLUANG - Seramai 70 penumpang yang dalam perjalanan dari JB Sentral ke Gemas berdepan detik cemas, apabila kereta api yang dinaiki melanggar seekor anak gajah di Kilometer 678.50 antara Renggam-Mengkibol dekat sini pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 8.19 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan melibatkan penumpang.
"Akibat pelanggaran itu, lokomotif terbabit tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan.
"Seekor anak gajah terbaring tidak bernyawa di atas tanah berhampiran dengan landasan kereta api, manakala dua ekor gajah berjaya melintas landasan dan menyeberangi jalan utama menuju ke kebun seberang landasan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Bahrin, kawasan persekitaran gelap tidak mempunyai sebarang lampu landasan dan pemeriksaan dilakukan mendapati pagar sempadan kereta api telah rosak akibat dirempuh dua ekor gajah.
Katanya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kluang telah tiba di lokasi dan mengambil saiz anak gajah serta pemotongan gading telah dibuat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti diambil oleh orang awam.
"Pada jam 10.40 malam lokomotif bantuan tiba di lokasi kejadian dan kerja penyambungan lokomotif ke gerabak berjaya dilakukan dan bergerak dari lokasi.
"Kerja-kerja penanaman bangkai anak gajah akan diuruskan dengan bantuan jentera JCB milik syarikat YTL Berhad," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!