Perak tetap hantar pasukan bola sepak sertai Sukma
KERAJAAN Perak tiada masalah untuk menghantar pasukan bagi acara bola sepak pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Kuching yang bakal berlangsung Ogos depan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, walaupun Perak FC enggan melepaskan pemain bawah 20 tahun mereka untuk mewakili Perak, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak mempunyai perancangan tersendiri.
Menurutnya, segala persiapan akan dilakukan oleh MSN Perak untuk memastikan tiada pasukan tercicir dari menyertai acara yang mempunyai prospek pingat.
"Setakat ini kita tidak terima apa-apa surat rasmi daripada Perak FC, hanya kenyataan melalui media sahaja. Jadi kita tunggu maklum balas dari Perak FC.
"Jika mereka menolak, kita ada pelan A, B dan seterusnya, yang penting, kita tetap akan hantar pasukan (sertai Sukma),” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Iskandariah, di sini, malam Ahad.
Khairudin berkata, tawaran diberikan kepada Perak FC untuk mempersiapkan pasukan bola sepak Sukma dibuat memandangkan mereka telah mempunyai skuad pembangunan.
Mengenai peruntukan yang disediakan, beliau turut mengakui jumlah RM50,000 diberikan bagi membantu mempersiapkan pasukan yang akan menyertai kejohanan selama sebulan itu.
"Kerajaan negeri ada bajet yang terhad. Adalah sukar untuk kita memenuhi segala permintaan Perak FC itu. Kita juga ada acara-acara individu lain yang menawarkan banyak pingat seperti olahraga, sukan kombat dan sebagainya.
“Kita kena jaga 37 acara sukan (untuk Sukma), semua pasukan ada bajet masing-masing mengikut kemampuan kewangan kita," katanya.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Perak FC berkemungkinan tidak dapat melepaskan pemain bawah 20 tahun mereka untuk menyertai kejohanan Sukma di Kuching atas faktor tajaan dan kekurangan sokongan kewangan.
Untuk rekod, pasukan bola sepak Perak pernah melengkapkan hatrik pingat emas acara Sukma edisi 2014, 2016 dan yang terakhir pada tahun 2018 di Ipoh.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!