Sabah ketinggalan sebab banyak bergaduh, hari-hari berpolitik - Hajiji
BEAUFORT - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengakui Sabah ketinggalan disebabkan pemimpinnya yang sering bergaduh dan berpolitik.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus dapat mengekalkan momentum persefahaman untuk membangunkan negeri itu supaya tidak ketinggalan lagi.
"Kita mahu bersatu hati bangunkan Sabah, kita ketinggalan sebab kita banyak bergaduh, hari-hari berpolitik. Jadi lambatlah kita membangun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri anjuran Gagasan Rakyat Klias di Masjid Daerah Beaufort di sini, pada Sabtu.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut menyedari slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan kerajaan di bawahnya turut dijadikan sasaran kritikan pihak pembangkang.
Jelasnya, kerajaan memperkenalkan pelan pembangunan SMJ sempena slogan jata negeri adalah untuk mengajak rakyat bersama-sama membangunkan Sabah.
Ujarnya, banyak program yang telah dilaksanakan walaupun berdepan dengan banyak cabaran sejak mengambil alih tampuk kerajaan negeri.
"Kita susun bagus-bagus hinggalah kita dapat perkenalkan Pelan Pembangunan SMJ, tetapi itupun dihentam siang dan malam walaupun itu cuma slogan pada jata negeri.
"Sarawak ada slogannya, Sarawak Maju Makmur. Begitu juga negeri lain di Semenanjung, semua ada slogan, tapi di Sabah pembangkang takut dengan slogan SMJ.
"Slogan ini baik iaitu ia mahu mengajak rakyat kita untuk maju dan sama-sama memajukan negeri kita, tapi mereka (pembangkang) tidak mahu ada slogan ini, mereka hanya mahu cerita politik siang dan malam," katanya.
Hajiji yang juga Presiden GRS berkata, SMJ adalah slogan yang baik untuk menaikkan semangat rakyat, namun perkara yang baik itu tidak disenangi pembangkang.
"Mereka hanya mahu supaya rakyat mengikut fikiran mereka yang tidak betul. Jadi, kita tidak mahu benarkan mereka kembali memerintah negeri," katanya.
Katanya lagi, walaupun berdepan dengan dakwaan sebagai kerajaan yang gagal, kerajaan negeri di bawah pimpinannya tetap fokus terhadap kebajikan dan usaha meningkatkan ekonomi rakyat serta negeri.
"Jadi, pada bulan yang mulia ini kita kukuhkan kerjasama dan perpaduan di antara kita, janganlah kita layan sangat perkara remeh yang ditimbulkan pihak lawan.
"Kita akui banyak yang masih perlu dilakukan untuk rakyat, sama ada air, elektrik dan lain-lain lagi tapi kita komited untuk menyelesaikan semua isu ini.
"Kita ada perancangan dan insya-ALLAH dalam masa tidak lama lagi kita dapat selesaikan semua isu ini. Kita ada peruntukan untuk menyelesaikan masalah loji atau paip air yang diwarisi daripada kerajaan dulu," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!