Hasil jualan peniaga bazar Ramadan memberangsangkan
KUALA KANGSAR - Hasil jualan peniaga bazar Ramadan di seluruh Perak masih memberangsangkan meskipun terpaksa bergelut dengan kenaikan kos harga barang dan cuaca panas.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pemantauan dilakukan di beberapa bazar mendapati, majoriti peniaga berpuas hati dengan penjualan dan kehadiran pengunjung yang membeli.
"Dengan kenaikan harga barang, sudah tentulah peniaga terpaksa jual dengan sedikit mahal dan dalam perkara ini pembeli yang akan terkesan.
"Begitupun saya dah pergi tiga ke empat bazar, setakat ini tak terima lagi peniaga yang mengatakan jualan susah dan sebagainya. Semuanya memberi respon yang baik," katanya kepada pemberita sempena program Meriah Beraya, Sejahtera Bersama (MBSB) Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak di sini pada Ahad.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedaya upaya mengimbangi kenaikan harga barang dengan menyediakan pelbagai inisiatif antaranya Kedai Bergerak dan Jualan Madani yang boleh dimanfaatkan peniaga.
"Walaupun belum membantu kos keseluruhan, namun inisiatif itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos ditanggung peniaga," katanya.
Sementara itu, Salbiah berkata, kerajaan negeri meneruskan kesinambungan program MBSB tahun lalu dengan peruntukan RM1.35 juta.
Katanya, program tersebut memberi manfaat kepada 9,000 penerima kalangan anak-anak keluarga B40 berusia antara 6 hingga 17 tahun menerusi pemberian baju raya.
"Ini inisiatif kerajaan Perak untuk memastikan kegembiraan dan keceriaan kepada anak-anak yang memerlukan menyambut lebaran nanti," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!