Sang Saka Biru berevolusi mengikut zaman, cekal depani perubahan - KPN
KUALA LUMPUR - Tanggal 25 Mac, genaplah 217 tahun usia pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tanah air bertuah ini dan tatkala meniti tempoh berkenaan, pelbagai cabaran suka duka serta pahit getir ditempuhi pasukan Sang Saka Biru dalam memastikan keamanan dan keharmonian negara terus kekal utuh.
Sejak sistem kepolisan moden dan sistematik bermula di negara ini dengan berkuatkuasanya Piagam Keadilan di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807, PDRM telah melalui pelbagai evolusi bukan sahaja dari segi imej dan tugasan, malah berjaya mengharungi cabaran keselamatan sehingga pasukan Sang Saka Biru menjadi antara pasukan polis yang disegani di dunia.
Biarpun berdepan dengan keadaan trend jenayah semasa yang lebih mencabar termasuk jenayah siber, namun PDRM sentiasa bersiap sedia dengan kepakaran dan ketangkasan pegawai serta anggotanya demi memastikan jenayah yang menggugat ketenteraman dan kesejahteraan negara ditangani, seiring dengan peredaran masa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kecanggihan teknologi dan era digital ketika ini diakui memberi cabaran kepada pasukan Sang Saka Biru, khususnya kepada dirinya untuk mempersiapkan pegawai dan anggotanya dalam mengharungi aktiviti jenayah era baru.
Untuk itu, PDRM memperkemaskan pegawai dan anggotanya dari sudut intelektual dan imej, dengan memberi peluang kepada mereka mengikuti kursus, seminar dan latihan berterusan dalam bidang seperti undang-undang, sosiologi, psikologi, analisis jenayah dan etika profesional.
"Dalam menghadapi cabaran semasa, PDRM sentiasa berubah termasuk menggunakan teknologi untuk meningkatkan perkhidmatan dan ketenteraman awam termasuk penggunaan kamera badan, analisis data, atau aplikasi mudah alih seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk melaporkan jenayah atau meminta bantuan.
"Penggunaan teknologi seperti itu adalah penting meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap pasukan selain dapat menangani pelbagai tohmahan negatif berkaitan isu integriti,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Polis ke-217 pada Tahun 2024.
Selain masalah jenayah siber, Razarudin berkata, Sang Saka Biru kini juga berhadapan dengan cabaran berkaitan isu intergriti dek sikap segelintir pegawai dan anggota yang tidak mematuhi undang-undang serta bersikap gelap mata ketika menjalankan tugas.
Perkara itu sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu bak kata pepatah kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit, meskipun yang membuat onar hanyalah sebilangan kecil warga PDRM.
Beliau yang memandang serius tentang masalah itu sering melaungkan amaran dan peringatan kepada anak buahnya agar menjauhi segala tingkah laku yang boleh mencalar serta menjejaskan imej pasukan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan tatatertib mahupun undang-undang.
Razarudin berkata, pada masa yang sama, pelbagai usaha turut dilakukan termasuk transparensi dan akauntabiliti, komunikasi efektif serta pendidikan dan kesedaran awam, untuk memastikan terdapat perubahan positif dalam perhubungan PDRM dan orang awam bagi tempoh lima tahun akan datang.
"Polis sentiasa berusaha membina hubungan yang kukuh dengan masyarakat setempat melalui program seperti kesedaran keselamatan, sesi dialog dan projek kerjasama yang bertujuan meningkatkan kepercayaan dan kerjasama antara polis dan masyarakat.
"Dengan mengamalkan pendekatan ini, PDRM boleh memperlihatkan imej yang lebih positif sebagai pasukan yang berilmu, berintegriti, dan komited untuk menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat sesuai dengan tema sambutan Hari Polis ke-217 tahun ini iaitu, Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya.
Selain itu, Razarudin berkata, latihan dan pendidikan secara berterusan kepada anggota mengenai sensitiviti budaya, hak asasi manusia dan teknik komunikasi yang efektif bagi memastikan mereka dapat berinteraksi dengan masyarakat secara positif dan beretika.
Beliau berkata, PDRM turut menggalakkan penyertaan masyarakat di pelbagai peringkat dalam program keselamatan awam, seperti program sukarelawan polis (PVR), Skim Rondaan Sukarela, penyertaan Kor SUadKSIS untuk pelajar, sesi ‘town hall’ dan dialog terbuka antara polis dan masyarakat setempat.
Sementara itu, sempena sambutan Hari Polis ke-217 pada esok (25 Mac) yang disambut serentak seluruh negara, Razaruddin mengingatkan pegawai dan anggota untuk memelihara dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.
"Pasukan PDRM adalah satu perkhidmatan yang mulia, saya menyeru seluruh warganya untuk memelihara kemuliaan ini dengan segala daya upaya yang ada.
"Tanamkan integriti yang kukuh dan iltizam tinggi untuk berkhidmat demi negara, bangsa yang beramanah bermula daripada setiap isi individu di dalamnya,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!