Malaysia kesal Majlis Keselamatan PBB gagal resolusi gencatan senjata
SEREMBAN - Malaysia kesal dan kecewa apabila sekali lagi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal untuk membuat resolusi gencatan senjata dalam konflik Israel-Palestin.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini percubaan ke sembilan yang dilakukan Majlis Keselamatan PBB dalam tempoh dua bulan dalam usaha membebaskan rakyat Palestin.
"Resolusi yang dicadangkan Amerika tidak dipersetujui oleh Rusia, China dan satu lagi negara kerana terdapat beberapa perkara yang tidak menyentuh secara menyeluruh. Amerika menggunakan kesempatan ini untuk mengelar Hamas sebagai pengganas.
"Malaysia tidak bersetuju Hamas digelar sebagai pengganas, mereka (Hamas) ini nak membebaskan tanah air mereka dan resolusi itu juga tidak menyebut bahawa rakyat Palestin dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka," katanya kepada pemberita selepas selesai penyerahan bakul makanan semperna Ramadan di Masjid Kariah Seliau di Rantau pada Ahad.
Ujarnya, resolusi itu juga cuma menyebut bahawa tebusan daripada Hamas, tebusan rakyat Israel di kembalikan kepada Israel tetapi tidak bersetuju pula supaya tahanan rakyat Palestin yang beribu-ribu orang yang ditahan oleh Israel tersebut tidak dimasukkan bersama.
"Jadi itu sebabnya pihak Rusia dan China tidak bersetuju dengan resolusi tersebut, gagal untuk kesembilan kali, dan akan dibuat lagi sidang tergempar untuk Majlis Keselamatan PBB mencapai kata sepakat.
"Malaysia membawa suara tegas sekurang-kurangnya kita nak supaya hentikan dahulu pembunuhan ini, itu yang kita nak,yang lain-lain kita cerita lain.
"Pembunuhan kejam,yang tidak berperikemanusiaan, kanak-kanak, wanita yang tidak berdosa, hospital, sekolah,masjid, gereja dan kampung halaman dibom. Dikumpulkan orang-orang Palestin ke Rafah," katanya.
Bagaimanapun katanya, lebih kesal apabila Rafah pula diserang selepas kawasan berkenaan dikatakan selamat sebelum ini sehingga kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin berlindung di situ kini di bom.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!