Sepanyol sekat Telegram sebab isu cetak rompak
MADRID - Mahkamah Persekutuan Sepanyol memutuskan menggantung penggunaan Telegram atas dakwaan menggunakan kandungan visual dan audio berhak cipta tanpa kebenaran.
Hakim Santiago Pedraz yang meneliti pertuduhan dibuat syarikat televisyen Mediaset, Atresmedia dan Movistar Plus mengakui terdapat keraguan berkaitan hak cipta.
Beliau berkata, penggantungan Telegram yang didakwanya sebagai 'tidak beri kerjasama' dan 'gagal dalam membenarkan pelaporan data teknikal tertentu' sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam pertimbangannya ketika membuat keputusan tersebut, Pedraz memberitahu, tindakan itu dianggap perlu, sesuai dan setimpal.
Beliau turut mengarahkan syarikat Vodafone, Orange, Digi, Movistar, MasMovil dan operator telefon lain di Sepanyol untuk menggantung penggunaan Telegram secepat mungkin.
Seperti dijangka, keputusan Pedraz itu mendapat kritikan pelbagai pihak khususnya dalam kalangan orang muda di Sepanyol.
Persatuan pengguna, Facua berkata, keputusan itu tidak seimbang dan akan menyebabkan kemudaratan yang ketara kepada berjuta-juta pengguna, syarikat, organisasi dan entiti awam dan swasta.
Telegram adalah aplikasi pemesejaan keempat paling popular di Sepanyol dan halangan yang dikenakan itu akan mendatangkan impak kepada sekitar 8 juta pengguna.
Perkhidmatan itu perlu dihalang syarikat telekomunikasi Sepanyol bermula Isnin, namun beberapa syarikat telah mula menyekatnya mulai Sabtu.
Sekatan itu hanya akan berkuat kuasa selama beberapa hari bergantung kepada langkah yang diambil oleh Telegram berkenaan kandungan cetak rompak.
Telegram yang diasaskan dua beradik dari Rusia, Nikolai dan Pavel Durov sejak 2013, pernah diharamkan di Brazil, China, Thailand, Pakistan, Iran dan Cuba atas pelbagai sebab. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!