Sungai Golok cetek: Polis ketat kawalan sempadan

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Muhamad Zaki)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Muhamad Zaki)
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) akan terus memperketatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand ketika Sungai Golok yang menjadi pemisah kedua-dua negara di negeri ini mulai cetek pada musim kemarau.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penugasan akan dilakukan dengan kekuatan pasukan dan kelengkapan yang ada merangkumi sempadan sungai sejauh 96 kilometer.

“Tidak kira Sungai Golok cetek atau tidak, menyeberang ke sempadan secara haram tetap satu kesalahan.

“PGA akan terus memantau dan memperketatkan kawalan di kawasan sempadan terutama bagi mengekang penyeludupan warga asing, kontraban termasuk senjata api atau dadah,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Cawangan Khas (KCK) Kelantan dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPKKK) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, penduduk terutama di sempadan seperti di Rantau Panjang dan Golok dinasihatkan untuk menggunakan laluan yang sah dan mengikut undang-undang jika perlu pergi ke kedua-dua negara.

“Kita ada jalan yang terbaik, katalah penduduk di Rantau Panjang dan Golok ada hubungan dan perlu keluar masuk boleh menggunakan pas sempadan.

Simbolik penyerahan tugas antara Nor Azmi (kiri) Ahmad Norisham (kanan) yang disaksikan Muhamad Zaki.
Simbolik penyerahan tugas antara Nor Azmi (kiri) Ahmad Norisham (kanan) yang disaksikan Muhamad Zaki.

“Begitu juga rentas sempadan dengan kenderaan seperti kereta atau motosikal pun ada laluan yang boleh digunakan untuk keluar dan masuk dan benda, jadi kenapa nak menggunakan laluan yang salah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan paras air Sungai Golok mulai cetek akibat kemarau melibatkan beberapa kawasan seperti Kampung Chabang Tiga Bagus dan Lubok Gong di Pasir Mas.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Pemangku KCK Kelantan, Asisten Komisioner Nor Azmi Che Musa menyerahkan jawatan kepada Senior Asisten Komisioner Ahmad Norisham Maarus dari Cawangan Khas Bahagian Ancaman Luar.

Pemangku KJPJKK Kelantan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah pula menyerahkan jawatan kepada Timbalan KJPJKK Johor iaitu Asisten Komisioner Mohd Zamri Mohd Rowi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!