'Rusia tak hirau amaran serangan berpotensi'

Sebuah tugu peringatan sementara didirikan di hadapan Dewan Bandaraya Crocus di Krasnogorsk luar Moscow. - Foto: Agensi
Sebuah tugu peringatan sementara didirikan di hadapan Dewan Bandaraya Crocus di Krasnogorsk luar Moscow. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) mendakwa mereka telah memberi amaran awal tentang serangan berpotensi menyasarkan 'perhimpunan besar' termasuk konsert di Moscow pada awal bulan lalu.

Kremlin bagaimanapun menolak maklumat risikan itu yang disifatkan sebagai propaganda Washington kerana mahu campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden yang menyaksikan Putin mengekalkan kuasa pemerintahan untuk penggal kelima.

Pada Sabtu, Presiden Rusia, Vladimir Putin berikrar akan menghukum dalang yang melancarkan serangan berdarah menyasarkan lokasi konsert di ibu kota pada Jumaat yang turut meragut sekurang-kurangnya 133 nyawa.

“Ia jelas 'keganasan antarabangsa' dan kami bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menewaskan musuh berkenaan,” tegasnya.

Janji itu dilafazkan selepas kesemua empat lelaki bersenjata yang mendalangi serangan menggemparkan itu berjaya diberkas ketika mereka cuba melarikan diri ke Ukraine.

Beliau turut mengutuk pembunuhan kejam tersebut yang disifatkan sebagai insiden keganasan terburuk dalam tempoh hampir 20 tahun.

Serangan tersebut sememangnya memberi tamparan hebat kepada Putin dan pemimpin itu dipercayai cuba melepaskan kemarahan dengan memperhebatkan serangan udara ke atas Kiev dan Lviv.

Rakaman video disahkan berhubung serangan itu menunjukkan kumpulan lelaki bersenjata automatik melepaskan tembakan ke arah pengunjung konsert di Dewan Bandaraya Corcus di Moscow.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, pihak berkuasa telah menahan seramai 11 suspek setelah Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ganas itu yang turut menyebabkan lebih 140 mangsa cedera.

Kiev juga menolak dakwaan mereka ada kaitan dengan kejadian itu setelah kesemua suspek dikatakan sedang menuju ke negara itu. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!