Menang, pencapaian, cipta sejarah penting dalam sukan - TMJ
KEMENANGAN, pencapaian dan mencipta sejarah merupakan perkara paling utama dalam sukan terutama bola sepak, menurut Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta'zim (JDT) juga menegaskan kejayaan dan keuntungan kewangan merupakan pencapaian penting dalam usaha mencipta sejarah.
Tegasnya, kehebatan seseorang individu itu dalam industri pertandingan sukan terutama bola sepak tidak akan bermakna sekiranya berada di tempat yang salah.
“Kerana ia (sukan) adalah mengenai kemenangan, pencapaian dan mencipta sejarah. Dalam kerjaya ini, kejayaan dan keuntungan, kewangan anda perlu berjalan seiring.
“Jika tidak, anda hanyalah sekadar salah seorang lagi pemain. Salah seorang daripada yang ramai lagi. Ia adalah dunia yang kejam.
“Apabila masa anda berakhir, tiada siapa yang akan mengingati anda kerana orang hanya mengingati juara atau pemenang,” tulisnya menerusi laman sosial Instagram.
Pada masa sama tegas Tunku Ismail, pengetahuan dan kebijaksanaan membuat keputusan merupakan senjata.
“Senjata anda adalah pengetahuan anda dan kebijaksanaan membuat keputusan. Kehidupan, kerjaya anda adalah berdasarkan keputusan-keputusan yang anda buat. Gunakannya dengan bijak.
“Kerana pada penghujungnya, orang yang kononnya menganggap mereka tahu apa yang terbaik untuk anda, tidak akan berada dengan anda ketika anda menderita.
“Andalah yang menjaga diri anda sendiri dan itulah kenyataan yang menyedihkan,” katanya.
Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio akan ke Sepanyol bagi aksi pramusim sebelum menyingkap saingan Liga Super 2024/25, pada Mei depan.
Sebagai rekod, JDT menyapu bersih semua empat trofi (Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Liga Super dan Piala Malaysia) dalam saingan Liga-M dua musim berturut-turut selepas melakar pencapaian sama musim lalu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!