Pas harap Prabowo buka dimensi baharu hubungan Malaysia-Indonesia
SHAH ALAM - Pas menaruh harapan agar pentadbiran Presiden Indonesia yang baharu, Prabowo Subiantio mampu membuka dimensi dan keakraban baharu hubungan Malaysia-Indonesia demi manfaat serumpun mahupun serantau.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya berharap supaya hubungan antara Malaysia dan Indonesia akan menjadi lebih baik dan harmoni di bawah pentadbiran Prabowo.
“Pas merakamkan ucapan tahniah buat Prabowo kerana telah disahkan memenangi Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) 2024 dan bakal menjadi Presiden Indonesia yang baharu menggantikan Joko Widodo setelah tamat penggalnya kelak.
“Didoakan agar Prabowo kelak mampu memacu dan memimpin Indonesia ke arah lebih baik dan berjaya dalam usaha untuk membina sebuah negara yang aman dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Rabu lalu, Prabowo, 72, bersama pasangan regunya, Gibran Rakabuming Raka diumumkan sebagai pemenang Pilpres 2024 yang berlangsung pada 14 Februari lepas.
Pengumuman itu dibuat Ketua Komisi Pemilihan Umum (KPU), Hasim Asy'ari setelah keputusan akhir menunjukkan Menteri Pertahanan bersama Wali Kota Surakarta itu meraih lebih 96 juta undi untuk memenangi majoriti pusingan pertama dengan 58.6 peratus undi.
Keputusan akhir tersebut diumumkan selepas KPU selesai melakukan rekapitulasi suara peringkat nasional untuk Pilpres 2024.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!