Jangan semberono jual, main bunga api

Berderet di tepi jalan buka khemah tidak kisah besar atau kecil jual bunga api bermacam jenis. Gambar hiasan
Berderet di tepi jalan buka khemah tidak kisah besar atau kecil jual bunga api bermacam jenis. Gambar hiasan
A
A
A

RAYA, bunga api dan mercun ini sudah macam adik-beradik di musim perayaan.

Mana tidaknya, berderet di tepi jalan buka khemah tidak kisah besar atau kecil jual bunga api bermacam jenis.

Namun, sedar atau tidak peniaga perlu ada rasa tanggungjawab untuk tidak penting diri dan perlu patuh undang-undang ditetapkan pihak berkuasa.

Perlu diingat, jualan umum bunga api hanya dibenarkan bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan Keamatan.

Secara ringkasnya, menjual bunga api secara dalam talian merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum penjara dan denda.

Hakikatnya, itu yang berlaku di zaman serba moden hari ini.

Medium aplikasi seperti WhatsApp, Telegram atau TikTok sudah jadi seperti kedai di mana pemiliknya tawar harga, tayang jenis bunga api dan bermacam lagi.

Memetik kenyataan Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Alzafny Ahmad, ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang mana boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Selain peringatan kepada penjual, ‘pemain’ bunga api juga diingatkan agar tidak bermain melebihi jam 12 tengah malam hingga boleh mendatangkan kacau ganggu atau bahaya kepada umum.Kalau ingkar boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atau Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam keseronokan bermain bunga api, waspadalah dan hati-hatilah agar tidak mendatangkan sebarang kecederaan.

Usah timbul lagi kes ada kanak-kanak putus jari, kudung tangan atau apa sahaja kecederaan akibat bermain bunga api atau mercun.

Biar pun baru dua minggu berpuasa, tapi tidak salah untuk saling mengingatkan.

Patuhi peraturan dan ambil cakna apa senarai 45 item bunga api yang telah diluluskan untuk dijual sejak 2018 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Antara item bunga api yang boleh dijual kepada umum ialah pop-pop, happy boom glow off sunset, happy boom glories, happy boom flower silver cracking rain (20 shot), happy boom sun sparkles, happy boom bee, happy boom mancis serta happy boom cili padi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!