Kenerak asam rong dijual RM20-RM60 sepotong
JERANTUT - Di sebalik rupanya yang hodoh dan menakutkan itu, baung kenerak sebenarnya memiliki isi berwarna putih dan kekuningan.
Di beberapa daerah terutamanya di sini, Raub dan Lipis ikan ini mendapat permintaan tinggi kerana ia cukup sinonim dengan masakan tradisi Pahang iaitu asam rong.
Menurut seorang nelayan Sungai Pahang dekat Kampung Gintong, di sini, Ery Ardy Arshad, 62, kenerak memang mendapat permintaan tinggi di daerah tersebut.
“Saya memang ada pelanggan tetap yang ambil bekalan setiap minggu.
“Sekarang memang musim ikan kenerak dan boleh dikatakan tiap-tiap hari boleh dapat hingga 10 kilogram,” katanya yang mencari rezeki sebagai nelayan sungai sejak 26 tahun lalu.
Menurutnya, ikan tersebut lebih mudah dipancing atau tersangkut pukat ketika air surut terutama lepas banjir yang memberi rezeki lebih kepada golongan nelayan.
Selain pelanggan datang sendiri ke rumah, beliau turut menjual hasil tangkapannya di Pekan Sehari Jerantut setiap Ahad dengan dibantu isterinya, Zuriah Hamzah, 50.
Kata Zuriah, ikan kenerak mendapat permintaan tinggi pelanggan termasuk ketika Ramadan kerana ramai peniaga kedai makanan yang menjual menu asam rong untuk juadah berbuka dan sahur.
“Ikan kenerak dijual dengan harga RM35 sekilogram mengikut saiz. Orang Cina pun ada beli sebab mereka suka masak kari.
“Ikan ini juga sesuai buat gulai lemak cili api dan tempoyak,” katanya lagi.
Seorang peniaga masakan tradisi Pahang di medan selera Majlis Daerah Jerantut, Zaharah Sohar, 68, berkata, menu asam rong menggunakan bahan utama iaitu buah perah atau biji getah yang diperam.
Katanya, isi kenerak yang kenyal menyebabkan ia sesuai untuk masakan tersebut dan dijual pada harga RM20 hingga RM60 sepotong mengikut saiz.
“Saya memasak dan menjual menu ini sejak remaja lagi malah sudah 43 tahun berniaga,” katanya.
Seorang penggemar kenerak, Roselan Ab Malek, 64, memberitahu, sebelum ini spesies tersebut tidak diminati ramai, namun menjadi tumpuan sejak akhir-akhir ini.
“Sejak dulu lagi saya suka menu kenerak asam rong. Walaupun pedas tapi sedap,” kata pesara guru itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!