Botok-botok kudapan orang Jawa

Nur Elyia menunjukkan botok-botok yang menjadi juadah istimewa Ramadan.
Nur Elyia menunjukkan botok-botok yang menjadi juadah istimewa Ramadan.
A
A
A

PONTIAN - Botok-botok mungkin kedengaran agak asing namun hidangan dibungkus menggunakan daun pisang itu cukup popular dalam kalangan masyarakat Jawa.

Biasanya, botok-botok menjadi hidangan istimewa di bulan puasa kerana aroma pelbagai jenis ulam-ulaman, rempah dan ikan tenggiri dikukus dalam daun pisang membangkitkan selera.

Nur Elyia Syahirah, 23, yang menjual botok-botok di bazar Ramadan Stadium Mini Pontian berkata, hidangan tradisi itu sangat istimewa kerana mempunyai khasiat tersendiri berdasarkan ulam dipakai.

“Ada lapan jenis ulam digunakan antaranya pucuk bebuas, kemangi, daun kunyit, daun kesum, ulam raja dan daun kaduk.

“Rempahnya pula dibuat menggunakan kerisik, santan, cili kering, kunyit, serai dan bawang. Selepas rempah disiapkan, daun dan ulam akan disusun secara berlapis.

“Potongan ikan tenggiri akan diletakkan bersama daun dan rempah sebelum dikukus. Botok-botok tidak berminyak, rasanya pedas dan manis,” katanya.

Nur Elyia berkata, perniagaan botok-botok sudah diusahakan ibunya, Kalsom Kahar, 60, sejak lebih 10 tahun lalu dan kebanyakannya dijual secara tempahan.

“Tidak sukar mencari ulam-ulaman kerana ibu meniaga sayur di pasar tani, jadi ramai petani menghantar sayur mereka kepada ibu untuk dijual.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai anak muda, saya bangga dapat menjual hidangan tradisi ini dan sambutannya amat menggalakkan kerana ramai yang cari botok-botok pada Ramadan,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 60 bungkus botok-botok yang disediakan bersama ibunya setiap hari akan dijual di bazar Ramadan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!