MPSJ sedia 16 pusat kitar semula
SUBANG - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan 22 pusat kitar semula dan kabin kitar semula bagi membolehkan pengasingan sisa dilakukan dengan lebih menyeluruh.
Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, kabin berkenaan dihasilkan dari kotak minuman yang dikitar semula.
"Tahun lalu kita melupuskan sebanyak 648 tan sampah dengan anggaran sebanyak 1.9 kilogram sampah dihasilkan bagi setiap rumah.
"PBT memerlukan strategi yang lebih berkesan dan sentiasa menyokong penyediaan pusat kitar semula bagi menangani isu peningkatan jumlah sampah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penempatan ‘Drop-Off Centre’ Tetra Pak & KPT serta Perasmian Perpustakaan Mini Sri Mutiara MPSJ 2020 di Pangsapuri Sri Mutiara di sini semalam.
Menurutnya, kerjasama turut dilakukan dengan Syarikat Tetra Pak & KPT yang menyediakan 15 kabin 'Drop-Off Centre' tambahan di beberapa lokasi awam.
"Isu alam sekitar termasuk pengurusan sampah yang sentiasa diketengahkan media massa dan media sosial menjadi aspirasi MPSJ melancarkan penempatan 'Drop Off Centre Tetra Pak'.
"Pusat kitar semula ini diharap dapat menangani isu pembuangan sampah secara haram yang menjejaskan kehidupan masyarakat selain membolehkan mereka melaksanakan kitar semula," katanya.
Katanya, setakat ini sebanyak 108 unit kotak kitar semula disediakan badan bukan kerajaan ditempatkan di lokasi awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!