Dua lelaki terjun sungai tinggal 10.5kg dadah dalam bot nelayan

Bot tanpa nombor pendaftaran yang dikesan menjalankan aktiviti penyeludupan. Pemeriksaan menemui bungkusan warna coklat dalam ruang simpanan bot. Foto JKDM
Bot tanpa nombor pendaftaran yang dikesan menjalankan aktiviti penyeludupan. Pemeriksaan menemui bungkusan warna coklat dalam ruang simpanan bot. Foto JKDM
A
A
A

TANJUNG DAWAI - Kesibukan urusan jual beli ikan di Pasar Bisik di sini tidak menghalang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai kira-kira RM347,000, Rabu lalu.

Pengarah Kastam Negeri Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan yang mencurigakan menemui 10 bungkusan berwarna coklat disyaki mengandungi dadah jenis syabu yang diletakkan dalam sebuah beg dan disembunyikan di ruang simpanan bot.

Menurutnya, anggaran berat dadah berkenaan lebih kurang 10.5 kilogram dan dikatakan boleh diedarkan kepada 100,000 orang penagih dadah.

"Selain itu, sebuah bot beserta dua enjin turut disita dengan nilai anggaran RM225,000.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM572,000. Bagaimanapun setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat namun siasatan diteruskan bagi mengesan pemilik bot terbabit," katanya.

Rampasan membabitkan dadah disyaki syabu yang ditemui dalam sebuah bot nelayan. Foto JKDM
Rampasan membabitkan dadah disyaki syabu yang ditemui dalam sebuah bot nelayan. Foto JKDM

Jelas Nor Izah, sebelum itu, sepasukan anggota Penguatkuasaan Marin Tanjung Dawai, Sungai Petani telah membuat pemantauan dan risikan di sekitar kawasan Kota Kuala Muda, Kedah hasil maklumat awam.

"Pada 20 Mac 2024, jam lebih kurang jam 6.30 petang pasukan telah mengesan sebuah bot nelayan tanpa nombor pendaftaran di muara Sungai Pasar Bisik, Kota Kuala Muda.

Artikel Berkaitan:

"Selepas menunggu hampir empat jam sehingga jam 10.20 malam, bot tersebut didatangi dua orang lelaki yang mencurigakan dan memandu bot tersebut ke arah laut besar," katanya.

Beliau berkata, pasukan serbuan bertindak memintas bot tersebut, namun setelah menyedari kehadiran anggota penguatkuasaan, dua lelaki tersebut bertindak terjun ke muara sungai sebelum menghilangkan diri.

Katanya, modus operandi digunakan iaitu keluar secara haram melalui jalan laut dengan menggunakan bot nelayan ke negara jiran.

Keadaan bungkusan disyaki mengandungi dadah ditemukan tersembunyi dalam ruang simpanan bot. Foto JKDM
Keadaan bungkusan disyaki mengandungi dadah ditemukan tersembunyi dalam ruang simpanan bot. Foto JKDM

Tambahnya, sindiket beroperasi pada lewat malam bertujuan untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

Difahamkan, dadah ini akan diedarkan ke negara jiran bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda berbanding pasaran tempatan.

Jelasnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu kesalahan menyimpan dan mengedar dadah dan jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

"Oleh itu, JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama menyalurkan maklumat sebarang aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!