MITI peruntuk RM2 juta bangunkan Kampung Angkat Madani
SABAK BERNAM - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperuntukkan sebanyak RM2 juta kepada Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar di sini, yang menjadi menjadi Kampung Angkat Madani pertama di Selangor.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, projek itu antaranya melibatkan pembinaan sebuah dewan bagi penganjuran majlis-majlis ilmu dan platform penduduk merapatkan ukhwah.
Selain itu, katanya, gelanggang futsal sedia ada akan dinaiktaraf atau dibina semula bagi memastikan penduduk terutama generasi muda dapat beriadah.
"Beberapa program turut dirancang dengan mengambil kira kekuatan MITI seperti program bimbingan keusahawanan," katanya ketika ditemui pada program Iftar Ramadan di Masjid Kampung Tebuk Mufrad pada Ahad malam.
Menurut Tengku Zafrul, program seumpama itu penting bagi menambah baik sumber pendapatan dan meningkatkan ekonomi keluarga serta kampung.
Jelas beliau, pelbagai agensi di bawah MITI akan memberi khidmat nasihat dan bantuan sebaik mungkin untuk kepentingan penduduk.
Mengulas mengenai program Kampung Angkat Madani, Tengku Zafrul memberitahu, program yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu perlu dilakukan secara 'whole of government' dengan memfokuskan kelengkapan kemudahan asas di kawasan desa yang terpinggir secara holistik.
"Kampung Tebuk Mufrad ini misalnya terpilih sebagai kampung angkat pertama bagi MITI," tambah beliau.
Sementara itu, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, pemilihan kampung itu dapat memberi limpahan ekonomi dan kemajuan kepada penduduk setempat.
Katanya, kampung itu mempunyai kegiatan ekonominya tersendiri antaranya industri pertanian, inovasi, kraftangan dan industri kecil dan sederhana (IKS).
"Selain itu, kampung ini meliputi projek dalam Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan daerah ini diharap dapat diangkat sebagai kawasan agro industri," jelas beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!