Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak lebih proaktif - Abdul Hadi

Serangan ke atas Dewan Bandaraya Crocus, Moscow sehingga menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 60 orang dan mencederakan lebih 145 lain. Foto AFP
Serangan ke atas Dewan Bandaraya Crocus, Moscow sehingga menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 60 orang dan mencederakan lebih 145 lain. Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bertindak lebih proaktif dalam mengatur strategi damai antara Rusia dan Ukraine susulan insiden keganasan di Dewan Bandaraya, Crocus City Hall, Moscow, Rusia.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, serangan pengganas perlu dipatahkan kerana dikhuatiri akan mengundang tindak balas mahupun peperangan yang lebih besar di kawasan Eropah Timur.

Abdul Hadi
Abdul Hadi

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, perkara tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah telah meragut ratusan nyawa orang awam yang tidak berdosa.

“PBB menerusi Majlis Keselamatan PBB perlu mengusahakan pelan damai antara Rusia dan Ukraine bagi memastikan kestabilan serta keamanan serantau berkekalan.

“Jika situasi ini berterusan, ia dikhuatiri akan memburukkan lagi situasi geopolitik dan ketidakstabilan hubungan serantau berikutan insiden peperangan yang berlaku semakin memuncak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Pada 22 Mac lalu, berlaku serangan keganasan ke atas Dewan Bandaraya Crocus, Moscow sehingga menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 60 orang dan mencederakan lebih daripada 145 orang lain.

Insiden itu berlaku semasa konsert kumpulan muzik 'Picnic.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar dan pejabatnya di seluruh dunia terus komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara.

Mengulas lanjut, menurut Abdul Hadi, Pas merakamkan ucapan takziah di atas insiden serangan pengganas yang tidak berperikemanusiaan itu.

"Pas mengecam sekeras-kerasnya serangan pengganas yang dilancarkan di Dewan Bandaraya Crocus, Moscow pada Jumaat lalu.

“Semoga Rusia dan rakyatnya mampu mengharunginya dengan sabar dan cekal seterusnya bangkit semula dengan lebih gigih serta berjaya,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!