Malim gunung daki Bukit Kepayang nikmati 'potluck' berbuka puasa

Setiap peserta membawa makanan sevara potluck untuk berbuka puasa di atas puncak Bukut Kepayang. Gambar kecil: Ahmad Nazrul, Salina
Setiap peserta membawa makanan sevara potluck untuk berbuka puasa di atas puncak Bukut Kepayang. Gambar kecil: Ahmad Nazrul, Salina
A
A
A

SEREMBAN - Mendaki Bukit Kepayang dengan ketinggian 205 meter untuk berbuka puasa sambil menikmati panorama indah dari atas puncak bukit pastinya memberi pengalaman luar biasa.

Seawal jam 5.30 petang, seramai 30 pendaki yang rata-ratanya daripada ahli Persatuan Malim Gunung Negeri Sembilan (PMGNS) memulakan pendakian yang mengambil masa kira-kira setengah jam perjalanan.

Lebih menarik lagi, ada sebahagian daripada mereka yang 'sporting' memakai baju Melayu dan baju kurung untuk mendapatkan suasana bulan Ramadan.

Kemeriahan berbuka puasa di atas puncak Bukut Kepayang dengan pelbagai juadah yang dibawa bersama.
Kemeriahan berbuka puasa di atas puncak Bukut Kepayang dengan pelbagai juadah yang dibawa bersama.

Pengerusinya, Ahmad Nazrul Razali, 37, berkata, ia merupakan tahun keempat mereka menganjurkan iftar di lokasi sama sebagai salah satu cara mengekalkan stamina malim gunung sepanjang bulan Ramadan.

"Sepanjang bulan Ramadan ini, kebanyakan daripada kami berehat daripada aktiviti mendaki tetapi apabila adanya majlis berbuka puasa sebegini, ramai yang teruja untuk menyertainya.

"Ia sebenarnya dapat juga kami lepaskan gian untuk mendaki, malah ada yang bukan dalam kalangan ahli atau malim yang datang dari luar Negeri Sembilan untuk menyertainya," katanya kepada Sinar Harian yang turut serta merasai pengalaman itu pada Ahad.

Menurutnya, masing-masing membawa makanan secara 'potluck' yang kebanyakannya dimasak dari rumah.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, antara menu menarik yang dibawa ialah kari kepala kambing, rendang ayam, bubur kacang durian dan sambal terung pipit.

Aktiviti berbuka puasa di atas puncak Bukut Kepayang merupakan salah satu cara PMGNS mengekalkan stamina malim gunung sepanjang bulan Ramadan.
Aktiviti berbuka puasa di atas puncak Bukut Kepayang merupakan salah satu cara PMGNS mengekalkan stamina malim gunung sepanjang bulan Ramadan.

Sementara itu, Salina Salim, 43, berkata, dia sanggup datang dari Batu Pahat, Johor hanya untuk menyertai program itu yang dianggap sesuatu yang menarik.

Katanya, ia juga ruang untuknya berkumpul bersama kenalan pendaki lain selain dapat bertukar-tukar pandangan.

"Sebagai individu yang minat mendaki, sudah pasti kami mahu melakukan sesuatu yang ada kaitan dengan sukan ini. Apabila ada peluang sebegini, saya tak mahu lepaskan peluang.

"Saya bertolak pagi tadi dari Batu Pahat dan tiba di Seremban kira-kira jam 1 tengah hari. Memandangkan hari ini (Ahad) adalah hari kerja di Johor, jadi saya ambil cuti dua hari," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!