Simon Harris usia 37 tahun catat rekod Perdana Menteri termuda Ireland

Simon Harris (gambar) dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Ireland menggantikan Leo Varadkar yang meletak jawatan minggu lalu. - Foto REUTERS
Simon Harris (gambar) dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Ireland menggantikan Leo Varadkar yang meletak jawatan minggu lalu. - Foto REUTERS
A
A
A

DUBLIN - Parti pemerintah Ireland, Fine Gael menamakan Simon Harris sebagai pemimpin baharunya sekali gus membuka jalan untuknya menggantikan Leo Varadkar sebagai Perdana Menteri.

Harris mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri termuda dalam sejarah Ireland.

Beliau berusia 37 tahun.

Varadkar mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut pada Rabu dengan memberitahu pengundurannya kerana “peribadi dan politik.”

Beliau juga pernah menjadi tajuk utama berita pada 2017 kerana mencatat rekod sebagai Perdana Menteri termuda Ireland. Ketika itu beliau berusia 38 tahun.

“Adalah satu penghormatan mutlak dalam hidup saya untuk secara rasmi berada di sini bersama anda hari ini di Athlone untuk menerima kepimpinan parti yang hebat ini, parti besar kami,” kata Harris dalam ucapan penerimaannya pada persidangan parti Fine Gael, pada Ahad.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap orang di dalam bilik ini dan setiap komuniti yang anda datangi dari seluruh Ireland. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan anda.

“Dan saya ingin berjanji dan berikrar kepada anda hari ini bahawa saya akan membalas kepercayaan itu dengan kerja keras dengan darah, keringat dan air mata, hari demi hari dengan tanggungjawab, dengan kerendahan hati, dan dengan beradab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Harris juga memberi penghormatan kepada Varadkar untuk "kepimpinan yang luar biasa."

“Setiap kali beliau (Varadkar) berucap, sama ada (mengenai) ancaman kewujudan Brexit dan Covid-19 atau sumbangannya kepada detik-detik penting perubahan sosial di negara ini. Saya tahu dan percaya legasinya penting sejak 2010,” kata Harris.

Harris telah berkhidmat sebagai menteri Ireland untuk portolio Pendidikan Lanjutan dan Tinggi.

Beliau juga berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan negara itu dari Mei 2016 hingga Jun 2020, menurut laman web Fine Gael. - Agensi/ Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!